najiy@hmetro.com.my
Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan ke-67 tahun ini dengan semangat dan rasa bangga terhadap pencapaian negara sejak memperoleh kebebasan pada 1957.
Selama lebih enam dekad, Malaysia melalui pelbagai cabaran dan perubahan, namun semangat perpaduan dan usaha berterusan setiap individu menjadi tunjang utama dalam mengekalkan kestabilan dan kemakmuran negara.
Tahun ini, sambutan kemerdekaan bukan saja meraikan kebebasan negara tetapi juga merenung kembali usaha dan pengorbanan generasi terdahulu dalam memastikan Malaysia kekal berdaulat.
Sambutan kali ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk merenung dan mensyukuri nikmat yang diperoleh serta terus berusaha memastikan negara kekal maju dan aman. Di samping itu, ia juga mengingatkan rakyat untuk mengekalkan kedaulatan negara.
Pelakon popular Azhan Rani, 48, turut berkongsi pandangannya mengenai erti kemerdekaan Malaysia yang ke-67 tahun ini.
Azhan berkata, kemerdekaan bukan hanya sekadar satu sambutan, tetapi lebih kepada tanggungjawab untuk mempertahankan dan menghargai kebebasan yang sudah dicapai.
“Mensyukuri adalah istilah paling tepat untuk menggambarkan kemerdekaan negara yang ke-67.
“Bila kita sayang dan cintakan negara, secara tidak langsung kita sanggup buat apa saja demi kesejahteraan diri sendiri dan generasi akan datang,” katanya.
Ditanya mengenai detik paling dibanggakan sebagai anak Malaysia, Azhan berkata, dia berasa bertuah dilahirkan di negara ini, terutama apabila berada di luar negara.
“Saya rasa bertuah setiap kali ke luar negara kerana dulu saya suka sangat melihat negara yang beriklim sejuk, tapi apabila berada di sana baru saya tahu ‘azabnya’ dan bersyukur saya dilahirkan di Malaysia.
“Malaysia akan terus kekal stabil dan harmoni walaupun kita hidup berbilang kaum. Kita hentikan sebarang perbalahan. Paling penting kita akan selalu bersatu sebagai sebuah negara Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, Azhan menzahirkan rasa terima kasih terhadap kepimpinan negara yang berjaya mentadbir Malaysia dengan baik, meskipun melalui cabaran besar selepas pandemik Covid-19.
Katanya, bukan mudah untuk memulihkan negara daripada kesan pandemik yang melanda seluruh dunia, namun kerajaan berjaya memastikan kestabilan dan kemajuan ekonomi negara.
“Saya berterima kasih dengan pemerintahan sekarang kerana sudah menjalankan amanah dengan baik walaupun cabaran yang perlu didepani sangat besar.
“Sebagai individu yang tidak minat berpolitik, saya tahu yang seluruh negara sekarang ini berdepan cabaran, lebih-lebih lagi selepas pandemik Covid-19.
“Saya melihat Malaysia masih lagi tidak ‘nazak’ dan negara ini masih lagi boleh berdiri serta menjalani kehidupan seharian dengan baik apabila masing-masing mempunyai peluang menjana pendapatan walaupun tidak semewah dulu.
“Saya yakin negara ini akan kembali pulih secara perlahan-lahan dan kami akan memberi sepenuh mandat kepada pentadbiran sekarang ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




