sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan KPT-MASUM Knight optimis mampu mengakhiri saingan Kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2024 dalam kelompok empat terbaik musim ini.
Timbalan Setiausaha Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr Hanafiah Ayub berkata, dengan kemasukan beberapa pemain baharu dalam pasukan, beliau yakin skuad kendalian Rul Amri Hashim dapat mengekalkan prestasi lebih baik dari awal hingga perlawanan terakhir liga nanti.
Jelasnya, mereka mengambil jurulatih berpengalaman bagi membantu pemain menampilkan prestasi terbaik dari semasa ke semasa, sekali gus segala perancangan menjadi kenyataan.
“Sasaran kita adalah empat terbaik sebab pada tahun lalu pun kita berada dalam empat yang utama.
“Tiba-tiba di hujung liga, momentum kita agak menurun, tetapi dengan pemain yang ada, tidak mustahil kita boleh ambil peluang itu untuk mendapatkan tempat empat terbaik.
“Rombakan kejurulatihan, taktikal dan sebagainya dibuat kerana kita kenal pasti salah satu komponen paling penting ialah pengalaman.
“Ia bermakna pemain kita memang berbakat, tetapi pengalaman perlu didedahkan. Sebab itu kita ambil ketua jurulatih yang baru (Amri Hashim) untuk bantu memberi pengalaman kepada pemain,” katanya selepas sesi pengenalan pasukan KPT-MASUM Knight ke kejohanan STL 2024 di KPT, hari ini.
Beliau melihat sistem baharu iaitu 15 mata yang digunakan dalam pertandingan ketika ini amat bagus kerana ia akan memberi lebih konsistensi kepada pemain.
© New Straits Times Press (M) Bhd


