syafil.syazwan@hmetro.com.my
Pada malam 31 Ogos yang penuh magis dan bersejarah, lebih 1,700 peminat setia muzik rock tanah air memenuhi ruang Zepp Kuala Lumpur untuk menyaksikan gabungan hebat antara dua nama besar dalam industri muzik rock Malaysia, Def Gab C dan Kristal X.
Menerusi Konsert Def Gab C & Kristal X: Merah Hitam Live at Zepp KL (Merah Hitam Live), yang berlangsung selama hampir tiga jam dan berjaya membawa penonton menelusuri perjalanan muzik kedua-dua band ini dari era kegemilangan hingga kini.
Dari awal konsert anjuran Shoreline Space itu bermula, pentas Zepp KL yang dimeriahkan dengan lampu neon yang berkilauan, berjaya menyuntik semangat kepada penonton yang hadir.
Suara gemuruh dan laungan penonton jelas terdengar ketika Kristal X memulakan persembahan mereka.
Dengan gaya yang penuh karisma, band yang pernah merajai carta-carta radio ini memulakan konsert dengan lagu Merdeka di Minda Sfera, disusuli dengan Bongkar dan Motor Satu Roda yang mendapat tepukan gemuruh dari penonton.
Lantunan vokal Lan selaku vokalis terus bertenaga mempersembahkan lagu-lagu seperti Macam Kentang, Resam Pak Belalang, Nurani, Seragam Hitam, dan Delaila dimainkan dengan penuh emosi, membangkitkan nostalgia dalam kalangan penonton.
Setiap lirik yang dinyanyikan, setiap nota yang dipetik, seolah-olah membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan muzik rock Malaysia bagi mereka yang membesar dalam era penghujung 1990-an sehingga 2000-an.
Selepas persembahan mantap dari Kristal X, pentas diambil alih oleh Def Gab C sekali gus mengubat kerinduan peminat terhadap lagu-lagu ikonik dengan suara unik vokalisnya, Asheed.
Dengan aura yang tidak pernah pudar, mereka terus menghentam pentas dengan lagu Melayu Tak Hilang-Hilang menggegarkan ruang konsert.
Kegilaan penonton tidak berakhir di situ, apabila mereka menyanyikan lagu-lagu hits lain seperti Terbang dan Ampunkan Aku yang membawa suasana konsert ke kemuncaknya.
Segmen medley Retrospektif yang menggabungkan lagu Ibu Kota Cinta, Marilah Maria, dan Cinta Sakti menjadi antara detik yang paling diingati malam itu.
Gabungan tiga lagu yang ikonik ini dipersembahkan dengan begitu kreatif, menunjukkan kematangan dan evolusi muzik Def Gab C sepanjang karier mereka.
Tidak ketinggalan, dalam semangat menyambut Hari Kemerdekaan, mereka turut menyampaikan lagu patriotik Saya Anak Malaysia, yang disambut dengan nyanyian bersama oleh seluruh penonton sebelum menutup dengan persembahkan lagu berhantu, Merah.
Asheed sempat berkongsi harapannya agar kemunculan semula Def Gab C akan mendapat sambutan yang baik.
“Malam ini sangat penting bagi kami. Harapan kami, selepas konsert malam ini, kami dapat berkarya di acara-acara persembahan lain lagi,” katanya.
Apa yang menarik perhatian sepanjang konsert ini adalah kehadiran penonton yang terdiri dari pelbagai peringkat usia.
Dari yang muda hingga yang berusia, semuanya berkumpul di bawah satu bumbung untuk menikmati persembahan dari dua legenda rock Malaysia ini.
Kehadiran artis-artis terkenal seperti Datuk Ramli Sarip, Eddie dan Black Wings dan ramai lagu turut menambah kemeriahan malam itu.
Keakraban dan sokongan dari rakan-rakan industri membuktikan bahawa muzik rock Malaysia masih mempunyai tempat yang istimewa di hati peminat dan penggiat seni tanah air.
Bagi mereka yang membesar dengan lagu-lagu dari Kristal X dan Def Gab C, ini adalah satu pengalaman yang pastinya akan dikenang oleh semua yang hadir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




