Paris: Perenang Brazil Gabrielzinho meraih pingat emas ketiganya di Paralimpik Paris manakala Valentina Petrillo dari Itali muncul atlet transgender pertama bertanding di temasya itu.
Semua mata tertumpu di kolam La Defense Arena untuk menyaksikan Gabrielzinho yang berusia 22 tahun melengkapkan hatrik emasnya dalam acara 200 meter (m) gaya bebas S2.
Dia yang tidak mempunya lengan dan tangan mencatat 3 minit 58.92 saat mengatasi atlet pasukan ‘neutral’ Vladimir Danilenko.
Emas ketiga jaguh Brazil itu yang nama penuhnya Gabriel Geraldo dos Santos Araujo diperoleh selepas memenangi 100m dan 50m kuak lentang.
“Ia perasaan seperti misi dilengkapkan kerana saya datang ke Paris untuk memburu tiga emas,” kata Gabrielzinho.
Dalam pada itu, perenang Belarus Ihar Boki meraih emas ke-20 dalam karier Paralimpiknya selepas memenangi 50m gaya bebas untuk masalah penglihatan.
Bagi acara olahraga di Stade de France, atlet transgender Petrillo, 50, yang mengalami masalah penglihatan menduduki tempat kedua saringan 400m T12 untuk layak ke separuh akhir.
Namun kemaraannya tersekat walaupun mencatat masa peribadi terbaik 57.58s ketika menduduki tempat ketiga dan gagal mara ke final.
© New Straits Times Press (M) Bhd




