am@hmetro.com.my
Melaka: “Ketika kejadian kamu ada bersama isteri yang mengandung tujuh bulan. Walaupun tahu hukuman bagi kesalahan ini (mengedar dadah) amat berat, kamu ambil risiko dan terus lakukannya tanpa fikirkan isteri dan anak di rumah.”
Begitu kata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Anselm Charles Fernandis ketika menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 15 sebatan ke atas Muhammad Haziq Mohd Kalil, 26, yang menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan mengedar 5 kilogram dadah kanabis dua tahun lalu pada perbicaraan kes itu, hari ini.
Anselm berkata, beliau juga meneliti beberapa faktor rayuan termasuk usia tertuduh yang muda iaitu 24 tahun ketika ditangkap, mempunyai dua anak kecil termasuk berusia dua tahun yang dilahirkan di penjara pada 30 November 2022 serta ibu tertuduh yang menghidap pelbagai penyakit.
“Saya juga mengambil kira tertuduh mengaku hanya bersalah pada hari kedua perbicaraan (hari ini) selepas tiga saksi pendakwaan memberikan keterangan.
“Saya tidak akan jatuhkan hukuman mati dan berpendapat hukuman memadai penjara seumur hidup dan 15 sebatan,” katanya.
Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan isterinya, Nadia Uzid, 25, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama selepas dipohon pihak pendakwaan atas pertimbangan dua representasi dihantar peguam mewakili pasangan itu, Andrew Lourdes sebelum ini.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof dan Muhammad Nazrin Ali Rahim.
Mengikut pertuduhan Muhammad Haziq dan Nadia Uzid didakwa dengan niat bersama mengedar dadah kanabis anggaran berat 5.2 kilogram di dalam kereta di parkir kenderaan Bayou Square, Jalan Wakaf Utama, Bukit Kati, di sini, pada 11.30 malam, 25 September 2022.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
