Siasat bukan tuding jari pada Dr Mahathir – Peguam Kanan Persekutuan

Siasat bukan tuding jari pada Dr Mahathir – Peguam Kanan Persekutuan

ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini diberitahu terma rujukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, tidak menuding jari kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mengemukakan hujahan bagi pihak Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima ahli RCI berkata, terma rujukan suruhanjaya siasatan itu tidak menamakan Dr Mahathir sebagai subjek dalam siasatan.

“Termanya hanya untuk menyiasat dan bukannya menuding jari kepada Tun Dr Mahathir,” katanya.

Shamsul berkata demikian pada prosiding pendengaran semakan kehakiman dikemukakan Dr Mahathir untuk mendapatkan perintah yang antara lain, membatalkan keseluruhan prosiding RCI berkenaan.

Bekas Perdana Menteri itu turut memohon perintah larangan bagi melarang Tun Md Raus Sharif daripada bertindak selaku Pengerusi RCI dan Datuk Dr Baljit Singh Sidhu serta Datuk Mohamed Ridha Abd Kadir, daripada bertindak sebagai ahli RCI.

Dr Mahathir selaku pemohon, turut memohon satu perisytiharan bahawa beliau adalah individu yang menjadi subjek (perkara) dalam siasatan RCI, atau terbabit dengan perkara yang sedang disiasat oleh suruhanjaya berkenaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Dalam afidavit sokongannya, Dr Mahathir berkata, beliau dinasihatkan oleh peguamnya, bahawa perintah atau keputusan RCI adalah ‘ultra vires’ (bertentangan) akta terbabit kerana berhak diwakili peguam pilihan selaku individu yang menjadi subjek dalam siasatan.

Sementara itu, Shamsul turut berhujah permohonan semakan kehakiman kini bersifat akademik kerana siasatan sudah selesai dan laporan sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bulan lalu.

Dapatan RCI itu dijadualkan akan dibentang dan dibahaskan di Parlimen pada Oktober ini.

Bagaimanapun, peguam Zainur Zakaria yang mewakili Dr Mahathir berhujah semakan kehakiman itu belum bersifat akademik kerana Seksyen 18 adalah satu peruntukan keperluan berkanun dan sebarang ketidakpatuhan boleh menyebabkan keseluruhan prosiding RCI terbatal.

Seksyen sama turut memperuntukkan bahawa individu yang kelakuannya tertakluk kepada siasatan, berhak diwakili peguam sepanjang keseluruhan prosiding.

Zainur berkata, Dr Mahathir adalah subjek dalam RCI, tetapi beliau tidak dibenarkan diwakili peguam melalui prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan 28 Oktober ini bagi keputusan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top