Lubnan idam jumpa Harimau Malaya di final

Lubnan idam jumpa Harimau Malaya di final

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengendali Lubnan, Miodrag Radulovic akui mahu bertemu Malaysia di final Pestabola Merdeka Ahad ini.

Jelasnya, kemenangan 1-0 ke atas Tajikistan dalam aksi hari ini mengesahkan pasukannya ke final dan akan menanti pemenang antara skuad Harimau Malaya atau Filipina yang akan beraksi jam 9 malam ini.

“Saya mahu menentang Malaysia di final, saya suka peminat Malaysia yang menyokong pasukan.

“Ia akan menjadi perlawanan akhir yang baik untuk bermain dengan penonton yang ramai dan di stadium yang bagus. Kami menentang Malaysia pada 2017 untuk kelayakan Piala Dunia.

“Saya melihat bola sepak Malaysia berkembang dengan baik dan mereka mempunyai potensi besar, ia akan menjadi perlawanan akhir yang baik menentang mereka,” kata selepas kemenangan ke atas Tajikistan itu.

Terdahulu, tampil pertama kali di saingan Pestabola Merdeka sejak pertama kali dianjurkan 1957 membuahkan hasil buat Lubnan apabila mara ke final bagi edisi 43 kali ini.

Lubnan yang menghuni tangga ke-116 dunia tidak menunggu lama apabila terus menggegar gawang lawan pada minit ke-13 menerusi tandukan Jihad Ayoub yang menyambut baik sepakan sudut rakan sepasukannya.

Tajikistan (103 dunia) cuba bangkit dengan memburu gol penyamaan namun juara bertahan Pestabola Merdeka itu dikecewakan oleh ketumpulan di barisan hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top