am@hmetro.com.my
Kuala Nerang: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) yang ditubuhkan oleh negeri Perikatan Nasional (PN) akan diperluas menjadi SG8.
Beliau membidas kenyataan pemimpin Umno yang mempersoal kedudukan SG4 Group sekiranya negeri PN ‘bertukar tangan’.
“Saya nak bagitau (beritahu) di Kedah, Barisan Nasional (BN) tak dak (kerusi) langsung ada PKR dua dan DAP satu, Perlis tak ada, Kelantan BN ada dua dan Terengganu pun tak ada, nak tukar dengan apa?
“Saya nak habaq kat dia (Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi), PN akan pergi ke Pahang, Perak, Melaka, Negeri Sembilan selepas ini akan jadi SG8,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan geran hak milik kepada penduduk di FELCRA Belimbing Tualak, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Mohd Fuad mempersoalkan kedudukan SG4 Group sekiranya satu atau dua kerajaan negeri PN itu bertukar tangan, kerana bukan mustahil Terengganu, Kedah dan Perlis dirampas semula BN.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menempelak segelintir pihak yang melabel SG4 Group sebagai syarikat RM2.
“Saya pun tak tahu ‘capital share’ RM2. Bukan saya yang tubuhkan syarikat, sekretariat yang tubuhkan dan proses itu semua kena tanya mereka.
“Yang penting, SG4 ditubuhkan untuk bisnes babitkan empat negeri PN , berapa ringgit tak pedulilah. Kita fokus kepada usaha sama, perundingan dan perbincangan agenda syarikat. Tak jejaskan apa-apa pun,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, agihan hasil kepada empat negeri dilakukan secara saksama, dengan setiap negeri memiliki 25 peratus saham syarikat tersebut.
“SG4 sangat positif, akan diteruskan berlandaskan agenda yang disusun dalam ruang lingkup untuk platform perundingan, perbincangan, usahasama empat negeri berdasarkan undang undang.
“Ada ruang untuk kerjasama negeri, antaranya bawah senarai negeri yang mana bidang kuasa negeri. Antara ruang lingkup senarai negeri ialah dalam bidang pendidikan, mineral dan galian, perlombongan serta mana-mana berdasarkan jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan (senarai negeri),” jelasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




