Tanggal 31 Ogos 1957 adalah tarikh keramat buat seluruh rakyat Malaysia, malah pada tahun ini genap 67 tahun kita menyambut kemerdekaan. Selama 67 tahun kita merdeka, bebas daripada dijajah kuasa asing. Namun, bagaimana pula dengan diri kita? Adakah kita sendiri sudah bebas daripada perasaan negatif yang sudah lama bersarang dalam diri?
Sebelum itu, mari kita fahamkan terlebih dulu apa yang dimaksudkan dengan istilah merdeka. Merdeka bermaksud bebas, jika dilihat dalam konteks negara kita bebas dan tidak terikat dengan penjajah. Merujuk kepada konteks diri, merdeka bermaksud bebas dan terlepas dari dibelenggu perkara negatif yang boleh merosakkan diri. Jadi, perkara utama yang perlu dilakukan bagi memerdekakan diri daripada belenggu emosi adalah memahami kesejahteraan psikologi diri.
Bukan badan dan wajah sahaja yang perlu dijaga, tetapi psikologi diri juga perlu dititikberatkan. Kesejahteraan psikologi menekankan tiga komponen utama iaitu pemikiran, emosi dan tingkah laku (PET).
Pemikiran adalah perkara pertama yang perlu dititikberat di mana ia boleh mengganggu emosi dan tingkah laku seseorang jika bermula dengan sesuatu yang negatif. Sebagai contoh, apabila bangun pagi apa perkara pertama yang terlintas di fikiran? Adakah perkara yang positif atau negatif? Jika seseorang memulakan hari dengan memikirkan sesuatu yang negatif, pandangan terhadap sesuatu yang berlaku mungkin menjadi negatif dan memberikan kesan emosi dan tingkah laku.
Selanjutnya komponen emosi yang boleh terhasil daripada corak pemikiran seseorang. Sebagai contoh, seorang isteri yang mempunyai pemikiran negatif dan memikirkan hidup ini tidak lagi berguna kerana dilahirkan untuk dihina, maka emosi wanita itu akan sedih, marah, kecewa dan bercampur baur. Lebih merisaukan apabila si isteri terpaksa menanggung emosi negatif ini setiap hari dan lebih parah lagi jika isu penderaan ini masih berlarutan dan dia bukan saja menanggung emosi sama, tetapi terperangkap dalam emosi negatif tiap masa.
Komponen ketiga tingkah laku terhasil daripada pemikiran dan emosi seseorang individu sama ada positif mahupun negatif. Tingkah laku yang negatif meninggalkan kesan buruk pada diri seseorang individu dan tidak mustahil ia boleh memberikan kesan sama pada orang sekelilingnya. Contohnya, bagi situasi isteri yang menjadi mangsa penderaan rumah tangga, kebiasaannya mangsa mula mengelakkan diri daripada orang ramai kerana takut dengan pemangsa serta risau dengan persepsi orang lain. Lebih merisaukan lagi jika mangsa mempunyai anak dan secara tidak langsung mangsa akan melepaskan tekanan yang dihadapinya kepada anak-anak.
Jelas di sini penjagaan psikologi amat penting kerana psikologi ini terkait rapat dengan kefungsian hidup. Sebagai contoh dari sudut pekerjaan, pendidikan, kekeluargaan dan banyak lagi. Kesihatan psikologi seseorang akan mendatangkan hasil yang baik bukan sahaja buat dirinya, tetapi kepada orang sekeliling.
Beberapa perkara boleh dilakukan bagi memerdekakan diri kita daripada terperangkap dengan unsur negatif. Pertama, elakkan diri dari persekitaran tidak sihat. Contohnya, apabila berhadapan dengan rakan yang toksik atau individu yang sering memberikan stigma yang negatif kepada diri, keluar dari kelompok itu. Lebih baik jika kesejahteraan mental terjaga daripada dibelenggu dengan perasaan negatif yang boleh memudaratkan kesihatan.
Kedua lakukan aktiviti yang boleh meningkatkan nilai positif pada diri dengan cara melakukan aktiviti riadah, berinteraksi dengan alam, bergaul dengan rakan yang memberikan motivasi yang baik pada diri.
Ketiga melakukan penghargaan kepada diri sendiri iaitu dengan memberikan ruang buat diri untuk refleksi kendiri. Ia secara tidak langsung akan membantu seseorang membentuk kekuatan diri secara dalaman serta luaran dan memperoleh pemikiran lebih positif daripada sebelumnya.
Keempat kenal pasti perkara yang berada dalam kawalan dan luar kawalan. Amalkan konsep 90 dan 10 peratus. Dalam kehidupan ini 90 peratus perkara yang berlaku adalah dalam kawalan individu dan hanya 10 peratus yang tidak boleh dikawal. Contohnya, dalam satu situasi suami bersiap ke tempat kerja, namun begitu ketika sarapan anak perempuannya tidak sengaja menumpahkan air kopi dan terkena pada bajunya. Melalui situasi ini jelas air kopi yang tumpah adalah perkara berlaku di luar kawalan, jadi untuk memastikan diri kekal positif individu perlu memupuk diri berfikir positif, mengawal emosi dan menunjukkan tingkah laku dan respons yang positif supaya tidak tewas dengan perkara yang hanya 10 peratus berada di luar kawalan.
Kelima dengan meningkatkan nilai spiritual dalam amalan seharian dan ini mengikut kepada ajaran agama. Dalam Islam bantuan dan pertolongan yang mutlak adalah melalui Allah SWT iaitu dengan cara melaksanakan segala perkara yang diperintahkan kepada Allah serta meninggalkan segala larangannya. Dalam surah al-Baqarah ayat 153, Allah berfirman: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”
Oleh itu, bertepatan tema kemerdekaan pada tahun ini ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’. Jika difahamkan jiwa merdeka menzahirkan kebebasan jiwa dari sebarang elemen negatif. Bebaskan diri dari unsur yang negatif, fikirkan perkara positif dan nikmati kehidupan dengan sebaiknya.
Penulis Timbalan Dekan (Program Ijazah Dasar) di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan Ahli Lembaga Kaunselor Malaysia manakala Nur Nadhirah Mat Nawi Kaunselor Pelatih dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
© New Straits Times Press (M) Bhd




