Aifa optimis mampu bangkit

Aifa optimis mampu bangkit

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman optimis mampu bangkit untuk kembali ke prestasi terbaiknya pada kejohanan akan datang selepas bergelut dengan beberapa kecederaan sebelum ini sehingga menjejaskan kedudukan ranking.

Baginya, dia akan ambil masa hampir sebulan untuk memberi tumpuan secara khusus bagi memastikan segala aspek dalam permainan berjaya ditingkatkan sekali gus kembali menyinar dalam kejohanan seterusnya.

Pada masa sama, atlet kelahiran Kedah itu memaklumkan dia tidak mahu terburu-buru menyertai mana-mana kejohanan sekiranya belum betul-betul bersedia sepenuhnya.

“Saya akan berehat dari mana-mana kejohanan buat sementara waktu kerana ingin berlatih dan saya sendiri pun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lagi. Kalau terus pergi ke sertai mana-mana kejohanan, ia akan merugikan diri sendiri sebab tidak berlatih untuk kejohanan itu. Lagipun selepas Terbuka Malaysia, saya ada kecederaan baru (pinggul).

“Kecederaan lama (lutut) semakin ok tapi persediaan tidak cukup sebab saya tidak berlatih kerana lebih fokus kepada pemulihan. Sebab itu saya tidak sertai Terbuka Mesir yang bertaraf Diamond itu walaupun saya layak sertainya,” katanya selepas perlawanan Jelajah Challenger 2024, di Pusat Skuasy Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, pemain berusia 22 tahun itu berharap mampu muncul juara di kejohanan Jelajah Challenger selepas dirinya terkandas di separuh akhir pada Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz 2024 sebelum ini.

“Saya memang letak sasaran untuk menang kedua-dua kejohanan ini tapi sampai separuh akhir sahaja minggu lepas. Untuk kejohanan ini, saya adalah pilihan utama selepas adik saya, Aira Azman menarik diri dan akan buat yang terbaik untuk menang kejohanan ini walaupun masih terasa sedikit kecederaan,” katanya.

Tambahnya, Aifa yang kini berada di ranking ke-35 dunia memaklumkan akan kembali menyertai beberapa kejohanan seperti Terbuka China, Singapura, Malaysia dan Hong Kong serta Kejohanan Berpasukan Wanita di Hong Kong.

Terdahulu, Aifa berjaya mara suku akhir selepas menewaskan wakil India, Urwashi Joshi, 3-0 dalam masa 18 minit sahaja.

Kejohanan berkenaan berlangsung di Pusat Skuasy Jalan Duta, Kuala Lumpur bermula 4 hingga 8 September ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top