mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tiada lesen jual barang kawalan, harga jualan melebihi harga kawalan, tiada tanda harga dan lesen tamat tempoh.
Itu kesalahan yang dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dalam pemeriksaan Op Viral di Kampung Segambut di sini, hari ini.
Operasi membabitkan 60 anggota KPDN Kuala Lumpur bersama KPDN Putrajaya dan Selangor dilaksana susulan aduan orang awam.
Difahamkan, ia juga diadakan berikutan video tular di Tiktok mendakwa kebanjiran premis perniagaan warga asing di kawasan berkenaan yang tidak diambil tindakan oleh penguat kuasa.
Timbalan Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, operasi itu memeriksa 19 kedai runcit di Kampung Segambut Dalam di sini.
Katanya, sebanyak 11 kompaun dikeluarkan melibatkan pelbagai jenis kesalahan seperti tiada tanda harga dan alat timbang yang tidak ditentusahkan.
“Jumlah sitaan bagi kesemua kedai runcit dianggarkan bernilai RM3,300.
“Peniaga juga dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723) kerana menjual harga terkawal melebihi harga ditetapkan oleh pengawal harga.
“Selain itu, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjual gas petroleum cecair (LPG) secara runcit tanpa lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, rata-rata peniaga menjual barang keperluan harian dan semakan mendapati, premis adalah milik warga tempatan berdasarkan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Bagaimanapun, pelanggannya adalah warga asing yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan. Namun ada premis yang telah tamat tempoh (lesen) dan diuruskan warga asing,” katanya
Beliau turut memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menjual barang kawalan melebihi harga ditetapkan kerajaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




