Madrid: Penyerang Valencia, Rafa Mir, menafikan tuduhan melakukan serangan seksual, sehari selepas dibebaskan dengan syarat dari tahanan sementara menunggu siasatan, dan meminta agar andaian bahawa dia tidak bersalah dihormati.
Polis menangkap Mir, 27 tahun, selepas seorang wanita membuat aduan terhadapnya, dan dia memberi keterangan di hadapan hakim.
Hakim yang mengarahkan pembebasannya dengan syarat kini akan menerajui siasatan untuk menentukan sama ada terdapat bukti yang mencukupi untuk Mir dibicarakan atau sama ada kes itu harus dihentikan.
“Rafa Mir menafikan tuduhan terhadapnya… Proses perundangan akan menjelaskan kejadian dan akan menunjukkan bahawa tuduhan itu tidak berasas,” kata peguam Mir, Jaime Campaner, dalam satu kenyataan.
Mahkamah berkata, bahawa ia sedang menyiasat Mir untuk jenayah serangan seksual yang membabitkan hubungan seks.
Dia perlu hadir di mahkamah secara berkala dan tidak dibenarkan meninggalkan negara sepanjang siasatan.
Mir juga pernah bermain untuk Wolverhampton Wanderers dan Sevilla, yang meminjamkannya ke kelab lamanya, Valencia.
Dia diberikan cuti dan mungkin akan kembali menjalani latihan minggu depan, kata sumber dari Valencia.
Tahun lalu, satu lagi kelab LaLiga, Celta Vigo, menamatkan kontrak pemain, Santi Mina selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun kerana menyalahgunakan seorang wanita pada tahun 2017.
Dia terus bermain untuk Valencia dan Celta sehingga dia disabitkan bersalah pada tahun 2022.
Dalam kes terkenal lain, pemain bola sepak Brazil, Dani Alves dibebaskan dari penjara Sepanyol Mac lalu selepas menjalani kira-kira satu perempat daripada hukuman empat setengah tahun kerana merogol seorang wanita di tandas sebuah kelab malam pada tahun 2022.
© New Straits Times Press (M) Bhd




