sukan@hmetro.com
Sintok: Universiti Putra Malaysia (UPM) unggul dalam acara 100 mter (m) apabila mengutip dua pingat emas bagi kategori lelaki dan wanita di Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM), petang ini.
Pingat emas 100m lelaki dimenangi Aliff Iman Mohd Fahmi dengan catatan masa 10.68 saat (s), diikuti pingat perak milik Hanssen Yap Soon Foo dari Kolej Komuniti Malaysia (KKMAS) dengan catatan masa 10.71s dan gangsa milik wakil Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Muhammad Fakhrul Abdul Aziz yang mencatat 10.78s.
Manakala pingat emas 100m wanita milik Azreen Nabila Alias dengan catatan masa 12.19s, diikuti dua pelari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Fatin Ilyana Mat Nayan dengan masa 12.71s untuk perak dan Misezatul Shafieqa Sapawi (12.99s) meraih gangsa.
Aliff Iman berkata, tuahnya muncul pada SUKIPT 2024 selepas kempunan merangkul pingat di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024, bulan lalu.
“Ini penyertaan pertama kali saya dalam SUKIPT 2024 dan saya bersyukur dapat menggenggam emas bagi acara 100m ini.
“Saya dapatkan keyakinan dengan tampil lebih tenang dan berlari tanpa tekanan serta hanya fikir mengenai usaha sendiri untuk melakukan yang terbaik.
“Menerusi latihan projek B10 (bawah 10 saat) saya bertekad meningkatkan lagi kemampuan untuk kejohanan lain selepas ini,” katanya.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah Azreen Nabila apabila penyertaan pertamanya di SUKIPT membuahkan hasil emas buat dirinya dan UPM.
“Pada awalnya saya tidak menjangkakan kemenangan emas ini kerana bersaing hebat dengan dua pelari UPSI.
“Namun saya bersyukur dapat menghadiahkan emas buat pasukan pada SUKIPT ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




