am@hmetro.com.my
Batu Pahat: “Pagi itu kami terdengar dia menangis, saya ingatkan tiada apa-apa. Tiba-tiba ternampak lubang kecil pada kaki kiri,” kata Rohaida Ahmad, 38, ibu kepada Mohd Syafiq Yusuf, 4, yang dipatuk ular, kelmarin.
Kejadian disedari pada jam 3 pagi ketika dia dan suaminya sedang tidur di rumahnya di Kampung Rahmat, di sini, sebelum terdengar anak bongsunya itu menangis akibat kesakitan.
Difahamkan, sebelum kejadian, Mohd Syafiq tidur bersebelahan ibu dan bapanya di rumah mereka sebelum didatangi reptilia itu dipercayai dari belukar berhampiran.
Menceritakan kejadian itu, Rohaida berkata, dia terdengar tangisan Mohd Syafiq pada awal pagi sebelum mereka terjaga.
“Waktu itu, kami tidak tahu pun dia dipatuk ular sehinggalah terpandang kemerahan pada kaki kiri selain itu terdapat juga lubang kecil.
“Pada masa sama, kami menyangka kecederaan itu akibat digigit lipan. Tidak lama selepas itu, dia mula muntah-muntah menyebabkan kami risau lalu membawanya ke hospital.
“Keadaan semakin teruk dengan muntah tidak berhenti sebelum dia segera dibawa bilik untuk pemeriksaan.
“Doktor memberitahu, Mohd Syafiq bukan digigit lipan sebaliknya dipatuk ular berdasarkan kecederaan dialami,” katanya ketika menemani Mohd Syafiq di wad pediatrik Hospital Sultanah Nora Ismail (HNSI), di sini.
Menurutnya, disebabkan itu juga, urat kaki anaknya mula kelihatan selain lubang semakin membesar serta bernanah.
Katanya, proses pembedahan juga tidak dapat dilakukan memandangkan dia masih kanak-kanak sekali gus mendatangkan risiko kepadanya.
“Cuma kesan daripada patukan ular menyebabkan kaki kirinya tidak boleh bergerak. Keadaannya walaupun sudah baik namun bukan sepenuhnya.
“Kami juga dinasihatkan supaya merujuk kepada pakar kanak-kanak dan tulang bulan depan untuk menilai keadaan kakinya.
“Itu yang merisaukan walaupun dia sudah tidak menangis atau menahan kesakitan, keadaan kakinya berlubang menyebabkannya sukar bergerak.
“Doktor ada membekalkan antibiotik kepadanya untuk menyembuhkan luka. Buat masa ini, kami perlu memantaunya supaya tidak dijangkiti kuman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




