Tekong, 20 Pati nekad terjun laut, lari selepas langgar bot APMM

Tekong, 20 Pati nekad terjun laut, lari selepas langgar bot APMM

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang tekong bersama kira-kira 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) nekad terjun ke laut bagi melarikan diri dari pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor dalam kejadian di perairan Kuala Langat awal pagi tadi.

Tindakan terbabit dilakukan selepas tekong melanggar bot milik APMM yang mengejarnya di kedudukan 0.2 batu nautika barat daya Pantai Tanjung Rhu, Kuala Langat sekitar jam 1.50 pagi tadi.

Terdahulu Pengarah APMM Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot terbabit dikesan hasil maklumat daripada ‘Area Control Centre’ (ACC) Klang dalam keadaan mencurigakan dan bergerak laju di perairan Kuala Langat.

“Hasil maklumat itu, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam OP EHSAN dan OP TIRIS 3.0 diatur gerak ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

“Setiba di lokasi, pasukan operasi menemukan bot fiber tanpa nombor pendaftaran memecut laju dalam keadaan mencurigakan di Perairan Tanjung Rhu, lalu aset Maritim Malaysia itu mengejar bot suspek selama 35 minit.

“Dalam cubaan meloloskan diri, tekong dengan sengaja melanggar bahagian sebelah kanan bot ronda APMM sehingga menyebabkan kerosakan pada badan bot dan palang penghadang enjin.

“Tekong kemudian terjun ke laut bersama PATI lain dan berenang ke kawasan cetek hutan paya bakau berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata, bot suspek berjaya dihentikan oleh anggota Maritim Malaysia, namun hasil pemeriksaan mendapati, hanya terdapat dua PATI wanita masing-masing berusia 28 dan 45 tahun tanpa dokumen pengenalan diri berada di atas bot.

“Hasil soal siasat ke atas kedua-dua PATI di lokasi kejadian, kira-kira lebih 20 penumpang lagi yang menggunakan perkhidmatan bot terbabit untuk pulang ke negara jiran, melarikan diri dengan terjun ke laut sebelum insiden pelanggaran berlaku.

“Bot fiber yang cuba menyeludup keluar PATI serta dua suspek terbabit ditahan kemudian dibawa ke Jeti Maritim Negeri Selangor, Pelabuhan Klang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

“Kedua-dua suspek disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top