SUV terbabas di kuil bukan sebab pemandu mabuk – Polis

SUV terbabas di kuil bukan sebab pemandu mabuk – Polis

am@hmetro.com.my

Ipoh: Polis menafikan insiden kenderaan utiliti sukan (SUV) terbabas ke kawasan kuil di Tanjung Rambutan, di sini, semalam, hingga melanggar tiang di rumah ibadat itu berpunca daripada pemandu mabuk.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, sebaliknya lelaki itu mengalami gejala hipoglisemia kerana diabetes.

“Berdasarkan rekod perubatan, pemandu itu mempunyai rekod sebagai pesakit kencing manis atau diabetes dan dia dipercayai mengalami hipoglisemia semasa kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Menurutnya, insiden itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 (Rule 10 LN 166/59) iaitu kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

“Polis menasihati orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya meninggalkan sebarang komen berbaur provokasi atau sentimen sensitif melalui media sosial tanpa mendapat rujukan atau fakta yang sahih sehingga menimbulkan kerisauan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, tular di WhatsApp berkaitan kejadian kereta memasuki perkarangan kuil itu berserta keterangan yang boleh membawa kepada sentimen perkauman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top