Dipisahkan daripada ibu bapa pada usia 2 tahun, dibesarkan pengasuh di taman asuhan

Dipisahkan daripada ibu bapa pada usia 2 tahun, dibesarkan pengasuh di taman asuhan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seawal usia dua tahun kanak-kanak ini sudah dipisahkan daripada ibu bapa dan ditempatkan di taman asuhan kendalian syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) untuk dijaga oleh ‘pengasuh’ dilatih kumpulan itu.

Malah ada antara kanak-kanak terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dinafikan hak mendapatkan pendidikan di sekolah seperti kanak-kanak lain.

Perkara itu dibongkar dalam soal siasat yang dijalankan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap 402 kanak-kanak yang diselamatkan dalam serbuan menerusi Op Global di 20 rumah amal di Negeri Sembilan dan Selangor, pada Rabu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan mendapati kanak-kanak terbabit adalah generasi ketiga dan keempat kumpulan itu.

Beliau berkata, ada antara ibu bapa kepada kanak-kanak yang ditempatkan di rumah asuhan itu tidak berada di negara ini sebaliknya pergi ke Arab Saudi dan Turkiye selama enam tahun.

“Namun, kita belum pasti sama ada ibu bapa terbabit dipaksa berbuat demikian atau sebaliknya. Kita juga percaya ada antara kanak-kanak itu sudah beberapa tahun tidak berjumpa ibu bapa mereka.

“Pembesaran mereka ini dalam taman asuhan selepas dipisahkan daripada keluarganya. Ada antara mereka ini tidak mempunyai dokumen dan kita hanya dapat butir peribadi daripada pengasuh. Kita sedang siasat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kanak-kanak terbabit,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Justeru, beliau berkata, tindakan itu adalah bentuk penganiayaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurut Razarudin, siasatan juga dijalankan bagi mengenalpasti sama ada kanak-kanak terbabit mendapat kemudahan pembelajaran atau sebaliknya.

“Kita dapati mereka ini bersekolah di tempat mereka dan kita akan siasat sama ada mereka ini mendapat sekolah secara normal mengikut Akta Pendidikan. Ia satu kesalahan penganiayaan kepada kanak-kanak jika mereka tidak bersekolah.

“Kita juga perlu melihat sama ada tempat pembelajaran di GISBH itu berdaftar atau tidak di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya.

Katanya, sekiranya pendidikan berunsur agama maka pihaknya akan menyemak perkara itu dengan Jabatan Agama Negeri sama ada mempunyai lesen atau permit sah.

Kata beliau, buat masa ini pihak pengurusan GISBH belum dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top