sukan@hmetro.com.my
Sintok: Perenang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nur Syamiera Narisya Rohissyam menjadi atlet renang pertama yang menyumbang pingat emas buat UiTM pada saingan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 di Pusat Aquatik Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam.
Syamiera antara sembilan perenang UiTM yang berjaya bangkit dari kekecewaan pada saingan hari pertama selepas hanya memungut pingat perak dalam acara 800 meter (m) gaya bebas wanita dan pingat gangsa acara 400m rampaian individu semalam, untuk menggenggam emas pertama buat dirinya dan juga UiTM.
“Ini kemenangan pertama kali saya dalam kejohanan SUKIPT ini dan saya amat bersyukur dapat menyumbang pingat emas pertama buat UiTM dalam SUKIPT 2024 ini.
“Sebelum ini saya memperolehi pingat perak dalam acara 800m gaya bebas dengan 400m rampaian individu dan saya tidak berputus asa, malah mencuba lagi untuk mendapatkan emas pada hari ini (semalam) dan Alhamdulillah acara ketiga saya ini akhirnya saya berjaya untuk merebut pingat emas.
“Faktor kemenangan ini adalah kerana pengalaman bersaing dengan perenang yang mendapat pingat perak acara ini dalam kejohanan MSSM sebelum ini, dan dengan pencapaian masa hari ini (semalam), saya anggap ianya juga agak baik untuk saya pertingkatkan lagi dalam acara di masa depan,” katanya.
Sementara itu, jurulatih renang UiTM, Adli Safwan Sarman meluahkan rasa syukur.
“Kami bersyukur di atas pencapaian emas pertama kerana bukan mudah untuk mendapat emas kerana pasukan lain turut dibarisi pemain yang berkaliber dan pernah beraksi di kejohanan yang lebih tinggi ” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, seorang lagi perenang UiTM, Kamilia Adriana Fazli turut menyumbang satu pingat perak melalui acara 200m gaya bebas wanita dengan cacatan masa 3:06:56s dan dua pingat gangsa melalui acara 4 x 100m Medley Relay dan 1,500 gaya bebas wanita.
© New Straits Times Press (M) Bhd



