am@hmetro.com.my
Kluang: Kerajaan akan memberi penekanan berkaitan soal integriti dalam memproses serta mengeluarkan pasport antarabangsa Malaysia bagi mengelak berlaku pemalsuan dokumen itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan pasport antarabangsa Malaysia tidak digunakan sewenang-wenangnya bagi mereka yang bukan warganegara.
“Sekiranya wujud jalan curang dalam memproses pasport itu, lama-kelamaan kita juga akan mengesannya.
“Sebab itu, kita akan tekankan dari segi integriti membabitkan proses yang mesti dilalui dalam mendapatkan pasport,” katanya selepas menghadiri Program Inspirasi Malaysia (I’M) di sini, hari ini.
Semalam, Jabatan Imigresen di Kedah menahan seorang lelaki warga Sri Lanka selepas menggunakan pasport antarabangsa Malaysia milik individu lain untuk keluar dari negara ini.
Suspek berusia 21 tahun ditahan di sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ketika cuba melepasi sempadan Thailand menggunakan pasport milik individu lain yang tertera nama Raja Danny Denis.
Kes itu adalah yang keempat dikesan di Kedah sepanjang tahun ini, semuanya membabitkan warga Sri Lanka.
© New Straits Times Press (M) Bhd



