sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hasrat skuad hoki lelaki negara untuk layak ke separuh hampir pasti selepas mencatat keputusan seri 3-3 dengan Korea Selatan dalam aksi terakhir pusingan round robin Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, China, sebentar tadi.
Keputusan itu membolehkan skuad negara berada di kedudukan keempat dengan lima mata.
Namun begitu, Malaysia perlu menunggu aksi antara China dan Jepun sambil mengharapkan China seri atau tewas perlawanan berkenaan kerana mereka kini di tangga kelima dengan tiga mata dan sekiranya menang, ia akan meranapkan impian skuad kendalian Sarjit Singh ke separuh akhir.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Pusat Latihan Moqi hari ini, anak buah Sarjit Singh mempunyai deretan peluang termasuk lapan pukulan sudut penalti tetapi hanya berjaya memanfaatkan satu sahaja dalam bentuk jaringan dan itu berbeza dengan lawan mereka yang berjaya mendapatkan dua gol melalui situasi berkenaan.
Pada aksi separuh masa pertama, Korea Selatan berjaya membuka tirai jaringan melalui Yang Jihun yang bijak menggunakan peluang menerusi pukulan sudut penalti seawal minit keempat.
Jaringan itu membolehkan skuad bimbingan Min Taeseok terus melancarkan serangan demi serangan untuk mendapatkan jaringan tambahan bagi mengukuhkan kedudukan.
Malaysia yang tertekan dilihat cuba mengatur serangan dan Azrai Abu Kamal berjaya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 melalui gol padang.
Bermula babak kedua, Speedy Tigers seakan-akan mendapat semangat baharu apabila menampilkan aksi lebih baik di awal permainan dan berjaya mendahului perlawanan apabila Norsyafiq Sumantri meletakkan Malaysia mendahului 2-1 pada minit ke-35 menerusi jaringan padang.
Ketika Malaysia terlalu fokus menyerang, Korea Selatan bijak mengambil kesempatan untuk mengikat kembali kedudukan 2-2 pada minit ke-42 melalui Park Cheoleon menerusi jaringan padang.
Berbaki lima minit terakhir, Faizal akhir berjaya mendapatkan jaringan yang dicari sekali gus meletakkan Malaysia sekali lagi mendahuli 3-2 pada minit ke-55 menerusi pukulan sudut penalti.
Di saat Malaysia hampir pasti mendapatkan tiga mata penting dan akan beraksi untuk saingan separuh akhir, Korea Selatan bangkit di minit akhir menerusi pakar pukulan sudut penalti mereka, Jihun untuk menyamakan kedudukan 3-3.
© New Straits Times Press (M) Bhd



