KL City bedal 'ubi muda' Kedah

KL City bedal 'ubi muda' Kedah

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City (KL City) FC tidak melepaskan peluang untuk berpesta jaringan menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 5-0 dalam saingan Liga Super 2024/2025 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Pertembungan dua pasukan yang paling menonjol dalam isu tunggakan gaji musim ini memperlihatkan skuad Warga Kota lebih baik dan tidak menunjukkan pemain berada dalam konflik.

Ia berbeza berbanding lawan mereka yang hanya menurunkan seorang pemain dari skuad utama, Afeeq Iqmal Rosli selaku ketua pasukan dan selebihnya menurunkan skuad Bawah 23 Tahun (B-23), B-20 dan B-18 dalam perlawanan itu.

Corak permainan termasuk pengalaman jelas ketara dalam perlawanan itu yang menyaksikan pemain senior KL City mengajar erti permainan bola sepak sebenar kepada ubi muda Sang Kenari.

Mereka benar-benar menguasai permainan secara keseluruhan dan melakukan serangan bertali arus dari sebelah kiri dan kanan sementara KDA FC kelihatan agak sukar menebusi pertahanan lawan apatah lagi mendapatkan gol.

Skuad kendalian Miroslav Kuljanac memulakan pesta jaringan seawal minit ke-11 melalui pemain import, Jovan Motika dan mendapatkan dua gol pantas dalam masa tiga minit melalui Hazrie Balqief Zulhadi menjaringkan gol sendiri dan sepakan percuma cantik dari Zhafri Yahya pada minit ke-23 dan 26 untuk menutup 45 minit pertama dengan mendahului 3-0.

Bersambung babak kedua, ketua pasukan KL City, Paulo Josue terus menambah derita KDA FC apabila meledak dua jaringan pada minit ke-49 dan 58 sekali gus meletakkan nama pemain kelahiran Brazil itu selaku penjaring terbanyak dengan 68 gol dalam sejarah bola Kuala Lumpur apabila memecahkan rekod yang dipegang oleh Fandi Ahmad (67 gol).

Anak buah Nafuzi yang kelihatan agak buntu dalam melancarkan serangan terpaksa bermain sedikit bertahan dan cuba mengelak dari terus dibolosi.

Kemenangan itu membolehkan KL City mengumpul lapan mata selepas sembilan perlawanan dengan empat kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan setakat ini.

Untuk rekod, Jawatankuasa‬ First‬ Instance‬ Body‬ (FIB) mengenakan hukuman iaitu denda pemotongan enam mata ke atas KL City selepas mendapati melakukan beberapa kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top