KL City FC berpesta gol di laman sendiri

KL City FC berpesta gol di laman sendiri

PETALING JAYA: Kuala Lumpur (KL) City FC menepati ramalan untuk mencipta kemenangan bergaya apabila membelasah Kedah Darul Aman (KDA) FC 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

KDA FC yang sebelum ini berdepan isu tunggakan gaji sehingga mendorong skuad utama memboikot pasukan menurunkan pemain skuad Bawah 23 (B-23) dan Bawah 20 (B-20) pada aksi tersebut.

Kapten KL City FC, Paulo Jouse meledak hatrik pada perlawanan tersebut manakala dua lagi gol masing-masing dijaringkan oleh Jovan Motika dan Zhafri Yahya.

Dalam aksi tersebut, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menembusi gawang menerusi percubaan pemain kelahiran Bosnia-Herzegovina, Motika pada minit ke-14 sebelum Jouse menggandakan jaringan pada minit ke-23.

Selang tiga minit kemudian, pemain tengah, Zhafri meledak gol ketiga menerusi sepakan bola mati dari luar kotak penalti sebelum penyerang kelahiran Brazil, Jouse meledak gol keempat pada minit ke-49.

Tuan rumah terus menambah derita KDA FC apabila pemain naturalisasi, Jouse menjaringkan gol kelima pada minit ke-58.

Selepas ini, KL City FC dijadual bertemu Perak FC ditempat lawan pada 21 September ini manakala KDA FC menentang Penang FC di laman sendiri (20 September). – UTUSAN

Scroll to Top