THT juara hoki Piala TNB

THT juara hoki Piala TNB

sukhairi@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) memadam hasrat Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk meraih gelaran trebel berturut-turut apabila muncul juara Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

THT yang kali terakhir meraih gelaran Piala TNB pada 2019 bangkit memberikan saingan dengan mengikat UniKL 4-4 sebelum saingan terpaksa ditentukan menerusi penentuan pukulan penalti yang menyaksikan pasukan dari Pantai Timur itu menang dengan keputusan 2-0.

Pasukan UniKL membuka tirai perlawanan menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit kesembilan sebelum pemain berpengalaman itu sekali lagi mengejutkan THT dengan jaringan keduanya selang empat minit kemudian.

Begitupun, THT jelas enggan menekan butang panik sebelum penyerang berbisanya, Faizal Saari mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-15 sebelum rakan sepasukan, Muhammad Arif Syafie Ishak kembali menjadikan keputusan perlawanan terikat dengan 2-2.

Mohammad Akhimullah Anuar Esook membantu THT mendahului perlawanan pada minit ke-21 menerusi jaringan padang, namun Muhammad Razie Rahim kembali menyamakan kedudukan untuk UniKL pada minit ke-35.

Faizal sekali lagi jelas menjadi ‘racun’ buat UniKL apabila meledak gol keduanya dalam aksi final berkenaan pada minit ke-38 sebelum Mohamad Ashran Hamsani mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, jaringan Muhajir Abdul Rauf pada minit ke-31 membantu TNB meraih kemenangan 1-0 ke atas Maybank.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top