Tiada aduan terhadap aktiviti GISBH di Johor

Tiada aduan terhadap aktiviti GISBH di Johor

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tidak menerima aduan salah laku berhubung pengoperasian Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihaknya akan melaksanakan pemantauan termasuk operasi perniagaan dan juga ajaran yang diamalkan pengikutnya.

“Alhamdulillah, di Johor ketika ini GISBH sentiasa dipantau dengan baik, sangat terkawal. Setakat ini, saya boleh katakan kita tidak menerima sebarang laporan atau aduan tentang mereka.

“Kita tahu mereka berniaga dan bermuamalat perihal itu, ia tidak menjadi masalah, yang kita bimbangkan adalah perihal ajaran agama sekiranya ia bertentangan. Jika tiada kesalahan boleh diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) kali ke-10 di Pusat Islam Iskandar, di sini, hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.

Mohd Fared berkata, sekiranya ada laporan lama diterima pihak berkuasa, ianya hanya membabitkan pertubuhan lama sebelum ditukar kepada GISBH.

Katanya, sehingga 2011, cuma ada empat aduan sahaja membabitkan pertubuhan lama di negeri ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top