sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Situasi Kedah Darul Aman (KDA) FC ketika ini ibarat retak menanti belah apabila dikhabarkan kemungkinan besar beberapa pemain utama akan bertukar angin selepas terpalit dengan isu tunggakan gaji hampir enam bulan lamanya.
Ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain berkata, beliau tidak boleh menghalang sekiranya itu hasrat pemain berkenaan kerana setiap individu ada komitmen masing-masing dan itu juga demi masa depan mereka sendiri.
“Setakat ini kita ada kehilangan beberapa pemain dan mereka keluar pun sebab perlukan sesuatu untuk diri sendiri kerana sebagai pemain ada tanggungjawab.
“Mungkin saya rasa, mungkin akan ada pemain yang akan keluar tetapi saya tidak boleh pastikan perkara itu 100 peratus kerana setakat ini hanya dua pemain, Habib Haron dan Kalamullah (Al-Hafiz),”katanya.
Selain itu, bagi mengatasi perkara itu, dirinya berharap akan ada pemain baharu didaftarkan dalam tempoh jendela perpindahan itu bagi memastikan pasukan dapat terus bersaing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
“Saya harap kita dapat selesaikan masalah ini dan kita dapat mendaftarkan pemain baharu untuk menggantikan pemain berkenaan bagi menambah kekuatan pasukan kerana kita memang perlukan beberapa pemain baru.
“Selagi jendela perpindahan pemain masih terbuka, masih ada ruang untuk pemain untuk mencari tempat baru. Dari pihak pengurusan pun kita tahu, mereka bekerja keras untuk menyelesaikan semuanya termasuk mendapatkan pemain baru yang hilang (berpindah).
“Sebab kita tahu jendela perpindahan ini tinggal beberapa hari saja lagi dan ia bukan tempoh yang panjang dan semua benda ini perlu diselesaikan (segera),”kata Nafuzi.
Untuk makluman, KDA FC kini berdepan masalah besar apabila hampir kesemua pemain utama mengambil keputusan untuk memboikot latihan termasuk perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City baru-baru ini selepas tidak berpuas hati ekoran tidak dibayar gaji.
Disebabkan itu, Nafuzi terpaksa mengambil risiko dan menurunkan pemain muda dalam perlawanan itu yang menyaksikan mereka tewas 0-5 kepada skuad Warga Kota.
Lebih parah, penjaga gol utama, Kalamullah yang menjadi tonggak penting buat Sang Kenari juga sudah berhijrah ke sebuah pasukan gergasi di Lembah Klang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




