Bern, Switzerland: Aston Villa memulakan kempen peringkat Eropah dengan sempurna selepas menumbangkan wakil Switzerland, Young Boys.
Villa yang pernah menjuarai Liga Juara-Juara pada 1982 meraih gol hasil sentuhan Youri Tielemans pada minit 27, Jacob Ramsey di minit 38 dan Amadou Onana pada minit 86.
Pengurus Villa, Unai Emery akui berpuas hati dengan keputusan itu dan kemenangan pertama itu melonjakkan motivasi pemainnya untuk melangkah lebih jauh di kejohanan itu.
Malah, beliau mahu pemainnya mengambil inspirasi kejayaan 1982 untuk cuba memenangi trofi itu buat kali kedua.
“Pasukan 1982 adalah skuad ’emas’ di mana mereka menundukkan Bayern Munich dalam final. Mereka generasi terbaik Villa dalam sejarah kelab.
“Kita boleh mengambil kejayaan pasukan untuk dijadikan azimat skuad sekarang bagi mengharungi kempen Liga Juara-Juara.
“Untuk menang seperti pasukan dulu (pasukan 1982) bukan mudah. Apapun kami mahu meraikan dahulu kemenangan 3-0 ini sebelum memikirkan langkah seterusnya,” katanya.
Villa mara ke pentas Eropah selepas menamatkan saingan di tangga keempat Liga Perdana Inggeris musim lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
