Mara Prihatin Ramadan bantu 5,000 orang

Mara Prihatin Ramadan bantu 5,000 orang

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Program Mara Prihatin Ramadan (MPR) yang julung kali diadakan akan memanfaatkan sehingga 5,000 penerima daripada golongan yang memerlukan di seluruh negara sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azizah Mohd Dun, berkata pelaksanaan MPR adalah sebahagian komitmen agensi itu bagi memastikan penerima dapat menjalani ibadah puasa dengan selesa terutamanya dalam kekangan berikutan penularan COVID-19.

Beliau berkata, bantuan melalui MPR akan disalurkan kepada masyarakat pelbagai lapisan terutamanya Bumiputera daripada golongan B40, anak yatim dan asnaf.

“Bantuan kepada 5,000 penerima itu akan disalurkan melalui penganjuran 50 program MPR yang akan diadakan MARA di setiap negeri sepanjang Ramadan ini.

“MARA mahu memastikan bebanan rakyat dapat dikurangkan lebih-lebih lagi dalam suasana ramai yang tertekan berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan disebabkan COVID-19.

“Khusus untuk hari ini, bantuan akan disalurkan kepada sehingga 1,000 penerima yang terdiri daripada golongan memerlukan yang sudah dikenal pasti di seluruh Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran Program MPR di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, Jalan Peel, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf; Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin; Pengerusi Tetap Srikandi Malaysia, Datin Ida Harlina Ikhwan Nasir dan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Laksamana, Muslim Ismail.

Azizah dalam majlis sama turut menyampaikan Bantuan Pendidikan Mara (BUDI) berbentuk wang tunai dan keperluan persekolahan kepada 20 pelajar daripada golongan B40 yang ditawarkan kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), tahun ini.

Selain itu, seramai 100 pelajar dari PPR Laksamana turut menerima bantuan persekolahan tajaan Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

MARA turut mengumumkan penyaluran bantuan berjumlah RM3,000 kepada PPR Laksamana bagi membolehkan komuniti itu melaksanakan pelbagai program mengimarahkan Ramadan.

Azizah berkata, program MPR di PPAR Laksamana turut membabitkan pelbagai agensi di bawah MARA termasuk GIATMARA yang menawarkan perkhidmatan penukaran minyak 100 motosikal serta khidmat gunting 100 pelajar sekolah.

“MARA mahu membabitkan semua agensi dalam ekosistemnya bagi memastikan usaha membantu masyarakat melalui pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

Azizah berkata, program MPR adalah sebahagian daripada inisiaitif melalui MARA PRIHATIN membabitkan dana lebih RM40 juta yang dilaksanakan agensi itu sejak tahun lalu bagi mengurangkan beban komuniti Bumiputera yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.

Selain MPR, dana itu juga digunakan bagi kemudahan lain melalui MARA PRIHATIN termasuk moratorium pembiayaan pendidikan dan perniagaan serta diskaun khas bayaran sewa premis MARA sebanyak 30 peratus.

Penerima bantuan BUDI, Afdhila Maisyarah Abd Hakim, 13, melihat sumbangan MARA itu sebagai satu usaha memangkin semangat pelajar sepertinya untuk bersungguh-sungguh dalam pelajaran.

“Bantuan diterima ini akan saya gunakan bagi melengkapkan kemudahan diperlukan untuk sesi persekolahan.

“Saya juga gembira kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan perbelanjaan yang perlu ditanggung kedua orang tua saya,” katanya yang berhasrat menjadi seorang pendidik.

Anak kepada pemandu teksi dan pembantu kedai itu, menerima tawaran ke MRSM Kuala Klawang, Negeri Sembilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top