ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia menempah tiket separuh akhir acara regu Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia Astaf 2024 hasil dua kemenangan berturut-turut terhadap Iraq dan India di Pantai Emas Qingdao, Shandong, China, hari ini.
Mereka bermula selesa sebelah pagi dengan menumpaskan Iraq 15-3, 15-11 ketika membuka tirai edisi kedua kejohanan itu namun dikerah bekerja lebih keras oleh India sebelum menang 15-9, 13-15, 15-12 dalam aksi petang.
Anak buah Mohd Hafizie Manap perlu memastikan status juara Kumpulan B dengan satu lagi kemenangan terhadap tuan rumah, pagi esok untuk mengelak bertemu juara 2019, Thailand lebih awal dalam separuh akhir.
India dalam satu lagi perlawanan sesi pagi mengalahkan China 15-5, 15-11 manakala Thailand turut menggenggam slot separuh akhir dengan menumpaskan Filipina 15-4, 15-3 dan Vietnam 15-6, 15-8.
Hafizie memulakan gandingan Wazir Madi, Shahrain Zameer Shamsuddin, Aqil Fawwaz Nasharuddin dan Firdaus Zahari untuk menentang Iraq namun menukar Fawwaz dengan Akif Ismat Zairi ketika penghujung set kedua berdepan India.
Perjudian nekadnya supaya Malaysia dapat meraih mata terus menerusi servis Akif tetapi satu daripadanya terkandas dan salah faham Shahrain dan Wazir ketika cuba merejam, membolehkan India memenangi set kedua.
Bagaimanapun tiupan angin yang semakin kencang dan hujan yang melanda gelanggang dalam set penentuan tetap mengiringi kemaraan regu negara daripada ketinggalan 5-8.
“Dalam set kedua, India dapat rentak servis mereka yang hanya sekali terkandas dan kami pula kerap melakukan kesilapan sendiri menerusi servis Firdaus dan Fawwaz sehingga permainan agak tertekan dan sukar menangkis lawan.
“Saya nekad mengubah taktikal dengan memasukkan Akif untuk membantu servis apabila mata penghujung set kedua itu rapat. Dia pun ada pengalaman bermain kuadran (berempat mirip regu pantai) dalam Sukma (Sukan Malaysia, Ogos lalu),” kata Hafizie, 40.
Menjelang pertemuan dengan tuan rumah esok Hafizie berkata, regu negara tetap mahu memburu kemenangan tanpa mempedulikan sama ada menerusi keputusan 2-0 atau 2-1 yang memungkinkan mereka bertemu Vietnam pada separuh akhir, petang esok.
Vietnam sebelum kalah kepada Thailand, sempat mengejutkan Korea Selatan 15-8, 15-13 dalam satu lagi saingan Kumpulan A.
© New Straits Times Press (M) Bhd




