PDRM 'tembak' Sang Badak

PDRM 'tembak' Sang Badak

Kuala Lumpur: PDRM FC membuktikan mereka sememangnya ‘pembunuh’ pasukan gergasi selepas membenam Sabah FC 1-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Selayang sebentar tadi.

Barisan anak buah P Maniam cukup kental apabila berjaya mengekang setiap asakan ketika perlawanan dilihat lebih dikuasai pasukan pelawat.

Sabah bermula garang dengan terus mengasak kubu PDRM dari awal permainan dan percubaan terbaik mereka hadir pada minit kelima namun tandukan Daniel Ting yang cuba menyambung tandukan Joao Pedro tersasar di hadapan gawang tuan rumah.

Pasukan pelawat cemas seketika pada minit ke-13 apabila hantaran lintang Alif Naquiddin Mohd Shouffi daripada bahagian sayap kiri PDRM tepat ke Damien Lim namun tangkapannya terlucut, mujurlah bola melepasi palang untuk sepakan sudut buat PDRM.

Gandingan serangan Sabah FC yang diterajui Darren Lok dan Joao Pedro terus melancarkan serangan berbahaya sepanjang tempoh babak pertama namun gagal menterjemahkan setiap peluang kepada gol sekali gus menyaksikan babak pertama berakhir tanpa sebarang jaringan dicipta.

Memasuki babak kedua menyaksikan PDRM mengubah corak permainan dengan melancarkan dengan kerap melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Malah, PDRM turut membuat tukaran pemain dengan memasukkan Ifedayo Olusegun untuk memberi tonik tambahan kepada jentera serangan bagi memburu gol pembukaan.

Ternyata percaturan terbabit menjadi apabila pemain import itu menyumbat gol tunggal perlawanan ketika perlawanan berbaki 10 minit untuk kedudukan 1-0.

Keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan PDRM berjaya memperbaiki kedudukan Liga Super untuk berada di tempat keenam.

Sabah FC yang dipimpin Datuk Ong Kim Swee pula mencatatkan kekalahan keempat dan kini menghuni tangga kelima Liga Super.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top