am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Bahan kimia yang dipercayai dibuang ke dalam sungai yang mengakibatkan pencemaran bau di beberapa kawasan bandaraya ini, pada minggu lalu sudah dikenalpasti.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata bahan kimia tersebut adalah kod SW 322 (buangan pelarut organik bukan terhalogen) dan SW 323 (buangan pelarut organik terhalogen).
Katanya pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mendapat senarai industri atau kilang yang menghasilkan sisa tersebut, yang membabitkan lebih 150 premis dan kilang di sekitar bandaraya ini.
“Kerja siasatan masih lagi berjalan, kita dapati sisa buangan kod SW 322 dan SW323, kami juga sudah dapat senarai industri atau kilang yang menghasilkan sisa tersebut.
“Sekarang ini kita tubuhkan pasukan khas yang terdiri dari JAS, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk kita jalankan operasi secara besar-besaran bagi membuat semakan atau lawatan ke kilang tersebut untuk cari dari mana datangnya sisa buangan kimia berkenaan.
“Sehingga hari ini belum dikesan (kilang), proses itu (mengesan kilang sedang berjalan), kerana banyak kilang yang hasilkan sisa kimia ini yang dianggarkan lebih 150 buah kilang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Kebangsaan Tahun 2024, di Sungai Tebrau, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terbaharu insiden pencemaran bau yang membabitkan Sungai Tebrau dan Sungai Plentong sehingga menjejaskan penduduk di beberapa kawasan sejak awal bulan ini.
Dalam perkembangan sama, Tian Soon memaklumkan proses pembersihan oleh kontraktor yang dilantik, di dua lokasi punca pencemaran iaitu di Kawasan Perindustrian Tiong Nam dan kawasan Perindustrian Tropika kini dalam peringkat akhir dan dijadualkan berakhir esok.
“Kos pembersihan di lokasi pertama di kawasan Perindustrian Tiong Nam menelan belanja RM177,000 dan lokasi kedua tropika menelan belanja RM84,000 kos pembersihan, mudah-mudahan esok dapat disiapkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




