redzuan.muharam@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Besarnya tanggungjawab digalas Siti Sarah Ahmad kerana tidak hanya menjadi isteri, ibu kepada empat anak dan pendidik tetapi perlu menjaga ibu yang mengidap dementia dan kakaknya berstatus orang kurang upaya (OKU).
Walaupun begitu, Siti Sarah, 40, cuba melakukan sebaik mungkin terutama dalam menjaga kebajikan ibu, Jamaliah Jamil, 74, dan kakak sulungnya, Siti Hamidah Ahmad, 51, yang tidak dapat menguruskan diri sendiri.
Berkongsi kisahnya, Siti Sarah berkata, tugas hakikinya adalah sebagai guru di sebuah sekolah rendah di Kulai, Johor dan dia mula tinggal bersama ibu serta kakaknya sejak awal tahun ini.
Menurutnya, sebelum ini dia dan adik-beradiknya yang lain menjaga secara bergilir-gilir dalam tempoh setiap tiga bulan tapi ambil tanggungjawab itu sepenuhnya selepas ibunya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) tahun lalu kerana masalah paru-paru serta jantung.
“Kakak disahkan OKU kategori pelbagai sejak berusia lapan bulan selepas diserang demam panas dan sehingga kini tak dapat menguruskan diri.
“Emak pula mengidap dementia teruk selepas arwah ayah meninggal dunia pada Julai 2017 tetapi ingatannya semakin teruk sejak patah kaki tiga bulan lalu.
“Disebabkan keadaannya itu, emak perlu mendapatkan rawatan di Klinik Psikiatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor setiap enam bulan selain dibekalkan ubat untuk melambatkan tahap dementia agar tidak menjadi terlalu teruk.
“Kakak pula menjalani pemeriksaan berkala dan rawatan di Klinik Kesihatan Bukit Besar (Kulai) setiap dua atau tiga bulan sekali selain diberi ubat untuk kurangkan sawan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Siti Sarah, apa yang berlaku kepada Jamaliah banyak memberi kesan buatnya dan adik-beradik kerana ibunya yang banyak menjaga kakak sebelum ini.
Bagaimanapun, Siti Sarah bersyukur kerana masih dapat membahagikan masa untuk menjaga ibunya dengan bantuan suami tercinta, Mohd Syafiq Saman, 40.
“Saya masuk kerja 12 tengah hari dan pulang pada 6 petang jadi mengambil khidmat penjagaan jururawat di rumah.
“Jururawat diupah itu bertugas selama empat jam bermula 12 tengah hari hingga 4 petang dan selepas itu, suami yang juga seorang guru pula akan sambung rutin menjaga ibu dan kakak sementara menunggu saya pulang dari sekolah.
“Jika suami ada mesyuarat atau urusan lain, kami perlu minta bantuan jururawat bekerja lebih masa dan bayar caj tambahan atau minta tolong anak berusia 12 dan 13 tahun bantu jaga nenek juga mak cik mereka,” katanya yang mempunyai empat anak.
Siti Sarah berkata, tanggungjawab digalas itu tidak mudah kerana menuntut kesabaran tinggi dan kekuatan mental juga fizikal.
“Cabarannya adalah mengendalikan emak yang gemar bertanya soalan berulang kali dan jika dijawab acuh tak acuh, dia akan merajuk.
“Itu belum lagi nak berdepan tabiat emak yang sering bangun malam kemudian buka pintu untuk keluar dari rumah selain meracau dan marah jika tak cukup tidur.
“Jika terkasar, saya dikatakan marah namun itu saja…lain tiada masalah kerana mudah menguruskan emak dengan kakak mandi, buang air kecil dan besar kerana badan mereka yang kecil.
“Tapi puas sebenarnya kerana masih ada emak dan kakak di depan mata dan dipermudahkan urusan oleh Allah SWT walaupun sukar mengurus dua orang dalam satu masa kerana ada ketikanya emosi jadi tak stabil juga,” katanya.
Siti Sarah berkata, dia tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari termasuk siapa yang akan pergi (meninggal dunia) dahulu namun berharap urusan keluarganya dipermudahkan tanpa menyusahkan sesiapa.
“Saya berharap dan berdoa juga semoga ibu dengan kakak sihat serta sentiasa dalam rahmat Allah SWT.
“Mengenai video saya dimuat naik di TikTok, saya kongsi suka-suka untuk jadikan kenangan dan memberi inspirasi kepada mereka yang senasib.
“Tak sangka pula ramai alami nasib sama malah diuji lebih teruk dan ia beri semangat kepada saya untuk terus menjaga emak juga kakak dengan penuh kasih sayang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




