'Kereta sangat luar biasa' – Norris

'Kereta sangat luar biasa' – Norris

Singapura: Lando Norris memuji jentera McLaren yang dianggapnya ‘mega’ selepas meraih kemenangan dominan di Grand Prix (GP) Singapura, semalam sekali gus merapatkan jurang kejuaraan Formula Satu dengan Max Verstappen, yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Ia adalah kemenangan GP ketiga dalam karier pemandu McLaren itu dan kemenangan pertamanya dari petak utama apabila dia menamatkan perlumbaan dengan kelebihan hampir 30 saat berbanding Verstappen bersama jentera Red Bull.

Norris mengakui mengalami beberapa detik mencemaskan apabila hampir terlanggar dinding di Litar Jalan Marina Bay yang agak sempit, ketika tayarnya semakin haus pada pusingan terakhir.

“Ia adalah perlumbaan yang menakjubkan. Saya mengalami beberapa detik cemas apabila tayar semakin kurang cengkaman.

“Tayar semakin haus sedikit. Ia bukan disebabkan kurang tumpuan atau faktor lain. Ia cuma sedikit mengejutkan saya,” kata Norris.

Namun, Norris berjaya mengelak sebarang kerosakan pada kereta dan mengurangkan jurang kepada Verstappen kepada 52 mata ketika berbaki enam perlumbaan dan tiga perlumbaan pecut.

“Saya rasa kereta dalam keadaan baik dan sangat luar biasa sepanjang hujung minggu ini. Jadi, sangat berterima kasih kepada pasukan,” katanya.

Rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, sekali gus mengukuhkan kedudukan McLaren selaku pendahulu berbanding Red Bull dalam kejuaraan pengeluar kepada 41 mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top