Misano: Jorge Martin memanfaatkan insiden Francesco Bagnaia yang terjatuh ketika perlumbaan MotoGP Emilia-Romagna semalam bagi melebarkan kedudukan pendahulu kejuaraan walaupun dia terlepas untuk meraih kemenangan apabila tewas kepada Enea Bastianini pada pusingan terakhir.
Martin pada awalnya berang dengan cara berani Bastianini memotongnya, tetapi kini dia mendahului 24 mata di hadapan pesaing utama, Bagnaia, yang terjatuh ketika tampil buat kali ke-100 dalam perlumbaan kelas perdana itu ketika berbaki tujuh pusingan lagi.
Martin, yang sedang memburu mahkota dunia pertamanya, terbabas dari litar “Marco Simoncelli” akibat tindakan Bastianini yang membolehkan Ducati meraih kemenangan MotoGP ke-100 mereka, dan dia menunjukkan isyarat marah ketika melintasi garisan penamat di tempat kedua.
Namun, insiden menimpa Bagnaia yang bermula dari petak utama memberikan Martin kelebihan menjelang MotoGP Indonesia minggu depan, walaupun dia terlepas peluang untuk meraih kemenangan Grand Prix pertama sejak perlumbaan di Perancis pada Jun lalu.
“Saya melihat Enea semakin menghampiri, jadi saya cuba menutup ruang. Cara dia mungkin agak keterlaluan kerana dia memaksa saya keluar dari litar.
“Jadi saya tidak dapat bangkit kembali dan selepas itu saya menunjukkan beberapa isyarat kerana saya agak marah.
“Saya rasa saya adalah yang terbaik dan layak untuk memenangi perlumbaan kali ini, tetapi tidak mengapa, saya akan cuba untuk perlumbaan seterusnya,” kata Martin.
Kemenangan kedua Bastianini musim ini, dan ketujuh dalam kariernya, membolehkannya merapatkan jurang dengan Martin apabila ketinggalan 59 mata ketika berbaki enam pusingan lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




