Kuala Lumpur: Penampilan selamba penyanyi legenda, Yantzen, 66, menghiburkan orang awam bersama Bob Sentuhan Buskers baru-baru ini di Bukit Bintang, di sini, menarik perhatian sehingga video itu tular.
Menerusi video terbabit, Yantzen atau nama sebenarnya Yantzen Juniwan kelihatan sempoi dengan baju putih, seluar merah, dan cuma berselipar mendendangkan lagu Insan.
Meskipun spontan, rata-rata netizen kagum dan memuji nyanyiannya yang ternyata masih cukup berbisa.
“Suara telan kaset. Inilah legenda, suara asli bukan buat-buat. Ada makanan dalam mulut pun nyanyi tetap mantap. Meremang dengar suara Yantzen.
“Semoga sentiasa sihat dan dimurahkan rezeki. Artis legend masih berbisa, terbaik! Bob petikan gitarnya memukau,” itu antara komen pujian netizen.
Dalam pada itu, ramai juga lega melihat keadaan terbaru vokalis Rusty Blade terbabit yang tampak sihat serta bertenaga.
“Alhamdulillah, nampaknya Yanzten sudah ada perubahan dari segi kesihatan. Semoga Yanzten sentiasa sihat dan dilindungi oleh Allah SWT,” doa netizen.
Dalam pada itu, ramai juga menegur kesilapan lirik dilakukan Yantzen yang menukar perkataan merana kepada gerhana.
“Janji nyanyi abang, salah belakang cerita,” antara komen netizen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




