Di Bagan Datuk, Perak seorang penunggang motosikal Rohaizad Jaid berusia 37 tahun telah maut dan seorang lagi rakannya mengalami kecederaan selepas terlanggar lembu yang sedang melintas.
Menerusi laporan Berita Harian, kejadian ini berlaku di KM 24 Jalan Feri, berdekatan Hutan Melintang, kira-kira pada jam 8 malam.
Difahamkan kedua-dua mangsa telah bergerak dari arah Sabak Bernam ke arah Hutan Melintang.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata kedua-dua mangsa telah terlanggar lima lembu yang melintas jalan.
Akibat perlanggaran itu, mangsa berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.
Mangsa berusia 38 tahun pula mengalami cedera ringan.
Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





