Kebun diceroboh 'abang besar'

Kebun diceroboh 'abang besar'

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Kehadiran dua ekor gajah liar menggusarkan pekebun di Kampung Belukar Bukit di sini, selepas tanaman diusahakan mereka dimusnahkan mamalia berkenaan sejak dua minggu lalu.

Selain merosakkan tanaman, penduduk turut bimbang dengan keselamatan mereka jika terserempak dengan haiwan itu terutamanya pada waktu malam.

Pekebun, Abdul Sani Ismail, 58, berkata, gajah liar yang menceroboh kebunnya malam kelmarin merosakkan pokok sawit berusia dua dan tiga tahun yang ditanam secara berperingkat menyebabkan dia kerugian kira-kira RM10,000.

Menurutnya, dia mengusahakan tanaman sawit di tanah seluas 2.5 hektar sejak enam tahun lalu dan ia adalah kejadian pertama kebunnya diceroboh dan tanaman dirosakkan haiwan itu.

“Gajah liar pernah berkampung di sekitar kawasan kampung ini dua tahun lalu namun ketika itu, kebun saya tidak diganggu tetapi kali ini kehadiran ‘abang besar’ merosakkan tanaman sawit yang diusahakan.

“Saya difahamkan gajah itu berulang-alik dari hutan bersebelahan kebun penduduk ke kawasan yang terdapat pokok sagu (rumbia) di kampung ini dengan melalui kebun penduduk.

“Menjadi kebimbangan apabila pokok sagu sudah habis, umbut sawit pula menjadi sasaran mamalia itu,” katanya.

Rakannya, Zamri Mohd Shakri, 45, berkata, kebun pisang yang diusahakan turut dirosakkan haiwan berkenaan sehingga menyebabkan dia kerugian hampir RM4,000.

“Selain menanam pokok pisang di kebun seluas satu hektar, saya turut menjadikan kawasan kebun sebagai tapak semaian anak pokok sawit.

“Kehadiran dua ekor gajah dewasa itu menjadi igauan ngeri kepada pekebun di kampung ini kerana 10 pekebun mengalami kerugian selepas tanaman dirosakkan binatang itu,” katanya.

Menurut Zamri, antara tanaman yang dirosakkan gajah liar itu adalah ubi kayu, pisang, anak sawit dan pokok sagu yang berada di dalam kebun penduduk.

Katanya, kali terakhir gajah liar menceroboh kebun penduduk kampung kira-kira dua tahun lalu namun ia tidak mengakibatkan kerosakan yang ketara seperti yang berlaku ketika ini.

“Isu ini sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan kakitangan Perhilitan sudah datang dan memantau kehadiran gajah di kampung itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata, kakitangan Perhilitan Hulu Terengganu sedang melakukan kawalan dan pemantauan di kawasan berkenaan.

“Kita sedia maklum mengenai kejadian itu dan tindakan sewajarnya sedang dilakukan petugas kami di lapangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top