KPDN Terengganu rampas 153 kg bersubsidi dijual tanpa lesen

KPDN Terengganu rampas 153 kg bersubsidi dijual tanpa lesen

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas sebanyak 153 kilogram (kg) minyak masak polibeg bersubsidi bernilai RM382.50 yang dijual tanpa lesen di sebuah premis runcit di Kampung Banggol, Tok Jiring di sini, semalam.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Terengganu pada 6 petang susulan laporan media berkaitan isu bekalan dan harga minyak masak polibeg bersubsidi di sekitar daerah ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan ada menjual barang kawalan bersubsidi iaitu minyak masak polibeg satu kg.

Katanya, premis berkenaan juga tidak memiliki lesen yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi menjalankan urus niaga barang kawalan itu.

“Selain itu, premis itu dipercayai menjual minyak masak polibeg bersubsidi pada harga RM2.80 sekilogram yang mana melebihi harga kawalan yang ditetapkan oleh kementerian iaitu pada harga RM2.50 bagi setiap peket.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Saharuddin berkata, peniaga diingatkan supaya tidak mengenakan pembelian bersyarat kepada pelanggan yang ingin membeli minyak masak polibeg bersubsidi.

Katanya, peruncit hanya dibenarkan mengehadkan kuantiti pembelian minyak masak polibeg bersubsidi bagi setiap individu tanpa sebarang syarat pembelian bagi membolehkan lebih ramai pengguna menikmati subsidi yang diperuntukkan kerajaan di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak Bersubsidi (COSS).

“Minyak masak polibeg bersubsidi ini juga adalah bagi kegunaan isi rumah dan bukan bagi tujuan perniagaan dan bekalan minyak masak polibeg bersubsidi bagi negeri ini adalah mencukupi.

“Bekalan minyak masak polibeg bersubsidi ini juga boleh diperoleh di setiap lokasi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang dilaksanakan secara berjadual di kesemua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Terengganu (DUN) di Terengganu.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak kementerian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top