sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kekuatan ‘smash’ beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadi faktor penting meraih kejuaraan pertama berstatus Super 1000 dalam karier mereka di Terbuka China, semalam.
Bekas pemain beregu lelaki nombor satu dunia, Tan Boon Heong berkata, setiap pasangan perlu ada keistimewaan apabila berada di dalam gelanggang kerana ia menjadi senjata rahsia bagi memburu kemenangan demi kemenangan.
Malah, wakil negara juga boleh menyusun taktikal bersesuaian berdasarkan kelebihan mereka ada dan itu akan membuatkan pihak lawan lebih berhati-hati dan tidak ambil mudah sesuatu perlawanan.
“Saya tengok Sze Fei-Izzuddin permainan mereka sangat ok. Izzuddin pula punyai ‘smash’ sangat kuat. Jadi kita nampak kekuatan dia di mana dan itu memberi kelebihan kepada mereka di dalam gelanggang,”katanya.
Pada masa sama, ketika ditanya berkenaan satu lagi beregu negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, beliau berpendapat gandingan itu perlukan sesuatu yang baharu di dalam permainan agar ia boleh menjadi kekuatan buat mereka.
“Mereka perlu ambil sedikit masa sebab saya tengok mereka seperti tiada keistimewaan (kekuatan) yang boleh membuatkan lawan rasa gentar setiap kali bertemu.
“Contoh kalau kamu lawan dengan Boon Heong-Koo Kien Keat, kita tahu kekuatan mereka adalah menyerang dan tiga pukulan pertama. Kalau Fu Haifeng (pemain China) pula kekuatan dia menyerang. Begitu juga dengan Hendra Setiawan. Mereka kena cari kekuatan itu biar lawan dia rasa kekuatan itu,” kata Boon Heong.
Tambahnya, dia juga setuju selain Datuk Lee Chong Wei, pemain badminton Malaysia yang lain dilihat begitu sukar untuk mengekalkan prestasi konsisten dalam setiap kejohanan yang disertai.
Terdahulu, Sze Fei-Izzuddin berjaya meraih kejuaraan Terbuka China selepas mengalahkan gandingan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, 13-21, 21-12, 21-17 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai AS$148,000 (RM622,000) manakala Ji Ting-Xiang Yu selaku naib juara meraih AS$70,000 (RM294,000).
Kejayaan itu juga menyaksikan Sze Fei-Izzuddin menyamai rekod legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek yang menjadi wakil negara pertama muncul juara beregu lelaki di Terbuka China pada edisi 1989.
© New Straits Times Press (M) Bhd




