mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad bawah 19 tahun (B-19) negara terlepas peluang meraih tiga mata selepas terikat 0-0 menentang Korea Utara pada perlawanan kedua kumpulan E Kelayakan Piala Asia Bawah 20 tahun (B-20), sebentar tadi.
Perlawanan di Stadium Republican Central, Dushanbe menyaksikan skuad kendalian Juan Torres Garrido terlebih dahulu menguji gawang lawan seawal minit ketiga.
Namun sepakan Izzat Muhamad agak lemah sekali gus mudah dinafikan penjaga gol Korea Utara Hong Kil Ryong. Korea Utara yang memiliki kelebihan fizikal dilihat kerap melakukan serangan berbahaya ke kubu skuad muda negara menerusi gandingan Ri Kwang Myong dan Choe Kuk.
Malah, Kwang Myong hampir meletakkan Korea Utara di depan pada minit ke-20 namun sepakannya sedikit tersasar. Bersambung babak kedua menyaksikan Korea Utara melakukan beberapa pertukaran pemain bagi menguatkan jentera serangan.
Gawang Malaysia diuji menerusi pemain gantian Kim Se Jin pada minit ke-53 namun kecekapan penjaga gol negara Muhammad Farish Danish berjaya menepis sepakan itu.
Pasukan Korea Utara boleh dikatakan tempang selepas pertahanannya Jong Un Hyok dilayangkan kad merah selepas mengasari Haykal Danish. Walaupun Korea Utara beraksi dengan 10 pemain, skuad muda negara dilihat agak sukar untuk menembusi kawalan pasukan lawan dalam usaha mencari gol kemenangan.
Percubaan Haykal pada minit ke-80 hampir menggegarkan gawang lawan namun Kil Ryong sekali lagi bertindak cemerlang menafikan percubaan itu.
Kedudukan 0-0 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan skuad muda negara terpaksa berpuas hati memperoleh satu mata menerusi aksi terbabit.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad B-19 negara memperoleh empat mata dalam saingan kumpulan E selepas mencatatkan kemenangan 2-1 bertemu Oman tempoh hari.
Selepas ini, skuad muda negara bertemu tuan rumah iaitu Tajikistan Jumaat ini sebelum mengakhiri saingan kumpulan E menentang Sri Lanka tiga hari kemudian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




