am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat dan mengesan wang dikatakan mahar yang dikutip daripada setiap zon oleh syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan memang ke arah itu yang dijalankan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).
“Kita akan siasat… insya-Allah. Siasatan AMLA memang ke arah menjejak wang itu,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu akhbar ini secara eksklusif mendedahkan tidak dibayar gaji, tiada caruman wang simpanan dan hanya menyediakan tempat tinggal serta makan minum untuk keluarga.
Itu tindakan didakwa dilakukan GISBH yang giat mempromosikan produk barangan Islam sedangkan hakikatnya sedang ‘memerah’ pihak lain untuk tujuan tertentu.
Lebih mengejutkan apabila syarikat berkenaan memperoleh pendapatan bulanan dianggarkan lebih RM2 juta setiap bulan hasil ‘bayaran mahar’ daripada zon yang dibahagikan.
Itu pendedahan yang dibuat oleh seorang bekas ‘jemaah’ yang mahu dikenali sebagai Azman, 41, berhubung modus operandi syarikat berkenaan.
Dia menyatakan bahawa kali terakhir syarikat itu membahagikan kepada 58 zon dan setiap zon diwajibkan memberi Pendapatan Kumpulan Harian (PKH) RM1,500 sehari.
“Untuk sebulan, kami perlu pastikan jumlah terkumpul adalah RM40,000 untuk setiap zon dan bagi 58 zon, sudah ada wang terkumpul kira-kira RM2.3 juta dan ini kami panggil sebagai mahar.
“Jika ada keperluan khusus seperti tugasan hasrat pemimpin untuk membeli apa-apa aset, maka nilai aset itu dibahagikan kepada zon yang ada, maka setiap zon perlu membayar bahagian aset terbabit.
Harian Metro dan Metro Ahad menerusi laporan eksklusif sejak 7 September lalu melaporkan, bakar tangan, cabut rumput sehingga penuh plastik hitam dan salah laku seksual antara bentuk penderaan yang dilakukan sebuah rumah kebajikan yang bernaung di bawah sebuah syarikat berkaitan produk Islam terkenal.
Malah, ada dalam kalangan mereka menjadi mangsa liwat dan lebih malang selepas diliwat mereka pula akan dipaksa meliwat rakan lain oleh penjaga.
Kegiatan penderaan fizikal itu dikatakan berlaku sejak lebih 10 tahun lalu membabitkan penghuni di rumah berkenaan terbongkar selepas seorang penjaga berusia 19 tahun ditahan pihak berkuasa Rabu lalu di Seremban, Negeri Sembilan.
Susulan pendedahan akhbar ini, ia turut mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, kementeriannya akan berkerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyelamatkan kanak-kanak terancam dan perlukan perlindungan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




