am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Rita Rudaini bersyukur kerana menerima anugerah Ibu Ikon sempena Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, semalam.
Anugerah disampaikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Acara ini dianjurlan oleh Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 48, berharap anugerah yang diterima dapat memberikan inspirasi dan motivasi buat golongan ibu di luar sana agar tidak sesekali mengalah untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada penganjur di atas pengiktirafan yang diberikan kepada saya ini.
“Saya difahamkan, pemilihan ini dibuat berdasarkan penilaian sebagai ibu tunggal yang cekal dan berdedikasi dalam mendidik anak-anak sehingga berjaya.
“Pemilihan saya adalah berdasarkan bagaimana saya membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan disiplin, sambil mengekalkan kerjaya yang cemerlang.,” katanya kepada Harian Metro.
Kata Rita, pencalonannya dibuat di peringkat ahli jawatankuasa sebelum dibentangkan kepada pihak kementerian.
“Apabila dimaklumkan mengenai perkara ini, tentu saja saya gembira dan pada masa sama terharu.
“Bagi saya semua wanita yang bergelar ibu, mereka adalah ikon kepada anak-anak mereka.
“Cuma mungkin, kisah dan perjalanan hidup saya yang mendapat liputan media sepanjang hampir 15 tahun membesarkan anak seorang diri akhirnya memberikan inspirasi kepada wanita yang senasib dengan saya,”katanya.
Untuk rekod, hasil perkahwinan terdahulu, Rita dikurniakan dua anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 15 dan Airit Qaqa Arjuna, 13.
Anak sulung Rita, Rayyan berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan gred purata nilai 3.99 pada peperiksaan semester di MRSM Sungai Besar.
Rayyan juga pernah menerima Anugerah Pengetua yang diberikan kepada pelajar yang memperoleh Purata Nilaian Gred (PNG) 3.50 dan ke atas selain cemerlang dalam bidang sukan serta kokurikulum.
© New Straits Times Press (M) Bhd




