am@hmetro.com.my
Tanjong Karang: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu melakukan penilaian terlebih dulu khususnya latar belakang pendidikan anak pengikut GISB Holdings (GISBH) sebelum mengambil alih aspek pendidikan bermula 1 Oktober ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penilaian itu turut membabitkan latar belakang dan psikososial yang pernah diterima sebelum ini.
“Kita perlukan sedikit masa dan saya ingat selepas beberapa fasa penilaian, kita akan tentukan sama ada mereka boleh kembali bersekolah sama dengan arus perdana atau bersama dengan anak-anak lain,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Hab STEM di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tanjong Karang, di sini.
Hadir sama, Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas.
Terdahulu, media melaporkan ratusan kanak-kanak yang terdiri daripada anak pengikut GISBH berjaya diselamatkan polis melalui operasi yang dilaksanakan di beberapa negeri sehingga kini.
GISBH didakwa mengeksploitasi kanak-kanak malah ada sebahagian mereka ini di ‘bin’ kan dengan Abdullah, sekali gus tidak mengenali ibu bapa masing-masing.
Kesemua mereka berjaya diselamatkan dalam serbuan ke atas 20 buah rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan milik GIBSH.
Mengulas mengenai Hab STEM, Fadhlina memaklumkan KPM berbesar hati menerimanya daripada PETRONAS dengan ada beberapa lagi program sama diadakan di beberapa negeri.
“Harapan kita cukup besar agar hub stem ini dan usaha sama dengan PKG dari segi kebudayaan, pembabitan guru, komuniti dan para pelajar dapat dipertingkatkan demi merangsang minat serta melonjakkan potensi anak-anak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




