harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Masyarakat digesa menolak ideologi ekstremis kerana ia hanya akan memecahbelahkan dan merugikan negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Katanya, ideologi ekstremis berkenaan bercanggah dengan nilai-nilai kehidupan kita sebagai sebuah negara berbilang kaum yang meraikan kepelbagaian dalam masyarakat.
“Perkara ini selari dan mendukung aspirasi Malaysia Madani kerana di bawah aspirasi ini, kita komited mahu menyerlahkan pegangan dan sistem nilai yang unggul.
“Pegangan dan sistem nilai unggul yang mengajak masyarakat agar meletakkan ihsan, kesejahteraan insan serta keharmonian lingkungan sebagai matlamat bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pasca Majlis Malam Amal Tabung Pahlawan 2024 dan Pelancaran Kad Veteran Digital di Wisma Pahlawan, di sini hari ini.
Turut hadir Penaung Kempen Tabung Pahlawan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Panglima Tentera Darat Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki.
Mohamed Khaled berkata, kira-kira 48,000 veteran menerima bantuan kebajikan melalui Tabung Pahlawan.
Katanya, antara bantuan diberikan termasuk bantuan sara hidup, bencana alam dan kesihatan seperti kemudahan dialisis, penyediaan anggota atau bahagian badan palsu serta inisiatif perumahan dan bantuan pengurusan jenazah.
Menurutnya, kira-kira 300,000 veteran direkodkan sehingga kini yang menjadi golongan sasar tabung berkenaan.
“Sebahagian besar mereka yang memerlukan bantuan ini adalah veteran terlantar yang daif, berpendapatan rendah dan tidak mampu menguruskan diri.
“JHEV akan cuba memudahkan proses memberi sumbangan dan memastikan sumbangan boleh dibuat melalui pelbagai saluran tanpa mengira jumlah dan nilai kerana sumbangan yang diberikan sangat bernilai.
“Seperti yang sering diungkapkan, ‘beri banyak tanda mampu, beri sedikit tanda ingat” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




