georgie@hmetro.com.my
TAKDIR yang tertulis mungkin sering kali berbeza dari apa yang diimpikan, namun ia sentiasa punya cara untuk membawa kita ke destinasi yang lebih baik.
Begitulah perjalanan hidup seorang wanita bernama Cahaya yang dikejutkan dengan berita kematian suaminya, Firdaus pada hari ulang tahun perkahwinan mereka.
Saat Cahaya sedang menghitung hari untuk menyambut kelahiran anak sulungnya, kebahagiaan yang diharap menjadi kenyataan musnah dalam sekelip mata.
Demikian latar kisah dalam drama Hai Cinta, Dengarkanlah! terbitan A10 Alliance yang disiarkan di TV3.
Drama bersiri 28 Episod ini diarahkan Eoon Shuhaini dan menampilkan barisan pelakon hebat tanah air antaranya Shukri Yahaya, Anna Jobling, Niezam Zaidi, Rania Amanda, Aleza Shadan, Zulkifli Ismail, Raden Zaharatul serta ramai lagi.
Hai Cinta, Dengarkanlah! membawa penonton meneroka hidup Cahaya yang kini bergelar sebagai janda.
Di dalam kesedihan yang dihadapi, Hakimi muncul sebagai penyelamat. Walaupun Cahaya menolak bantuan Hakimi, dia tetap bertegas untuk membantu dan menjaga Cahaya serta menyokongnya selepas kelahiran anak sulungnya, Fifi.
Dengan penuh kasih sayang, Hakimi sentiasa berada di samping Cahaya dan menjadi sumber kekuatan dalam tempoh paling sukar dalam hidupnya.
Selepas beberapa bulan kelahiran Fifi, Cahaya kembali bertugas sebagai kurator di Muzium Kuching.
Namun, selepas kontraknya tamat, dia dan Fifi harus pulang ke Semenanjung Malaysia.
Takdir tidak pernah salah alamat apabila Cahaya dipertemukan dengan Adib, seorang lelaki baik hati yang banyak memberi perhatian kepada Fifi.
Pertemuan itu membuka peluang baru untuk Cahaya apabila dia ditawarkan untuk bekerja di galeri yang diusahakan oleh Adib.
Seiring dengan perjalanan mereka, hati Cahaya mula terbuka untuk menerima cinta baharu. Tetapi, dengan kehadiran dua lelaki yang penting dalam hidupnya, Hakimi yang menunjukkan kesetiaan tanpa syarat manakala Adib, yang disukai dan diterima oleh Fifi.
Cahaya berhadapan dengan dilema yang sukar untuk membuat keputusan.
Adakah dia akan memilih Hakimi, yang sentiasa ada di sisinya? Atau Adib, yang mungkin akan membawa kebahagiaan baharu dalam kehidupannya bersama Fifi?
Apakah Cahaya akan mampu menemui kebahagiaan yang selama ini menjadi impiannya? Sesuatu yang diharap datang membawa sinar baru dalam hidupnya?
Saksikan drama 28 episod disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di Slot Akasia atau strim di iQIYI satu jam selepas siaran di TV3.
© New Straits Times Press (M) Bhd




