Martin lega badi kemalangan berakhir

Martin lega badi kemalangan berakhir

Madrid: Pendahulu kejuaraan MotoGP, Jorge Martin, merasakan dia lebih matang di atas motosikal sejak beberapa perlumbaan terakhir kerana tidak banyak terbabit dengan kemalangan.

Martin melakukan beberapa kesilapan kritikal dalam perlumbaan pada separuh musim pertama, antaranya terjatuh dari kedudukan pendahulu di Grand Prix (GP) Sepanyol dan Jerman ketika pesaing utamanya, Francesco Bagnaia mencatatkan kemenangan.

Namun, sejak rehat musim panas, Martin berjaya menamatkan setiap perlumbaan manakala Bagnaia terbabit dalam kemalangan di Aragon dan terjatuh ketika berada di tempat ketiga pada hujung minggu lalu di Misano.

Selepas Grand Prix Emilia Romagna, Martin kini mendahului kejuaraan dengan 24 mata mengatasi Bagnaia.

“Perkara yang baik adalah sekarang nampaknya saya lebih matang di atas motosikal dalam beberapa perlumbaan terakhir.

“Nampaknya pada awal musim, saya mempunyai beberapa masalah yang tidak saya sedari, dan saya terjatuh, seperti di Sachsenring atau Jerez.

“Sekarang saya rasa kami sudah menemui jalan penyelesaian, sudah pasti minggu lalu (di Grand Prix San Marino) saya membuat pilihan yang salah dan saya kehilangan mata.

“Tapi saya tidak lagi mengalami kemalangan dan gembira kerana sudah menemui rentak tunggangan yang baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top