Di Rawang, Selangor rangka manusia dipercayai bayi ditemukan di Lebuhraya Rawang Bypass, semalam.
Menerusi laporan Sinar Harian, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya telah menerima maklumat tentang penemuan ini kira-kira pada jam 1 tengah hari.
Rangka bayi yang baru dilahirkan itu ditemui oleh seorang lelaki berusia 53 tahun yang pada mulanya ingin mencari barangan lama di kawasan tersebut.
Selepas mendapat maklumat daripada individu berkenaan, polis bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan lanjut.
Tiada barangan seperti dokumen pengenalan diri atau telefon bimbit ditemukan bersama rangka itu.
Polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.
Oleh itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dengan kejadian itu diharap dapat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641223 atau tampil ke balai polis berhampiran.





