am@hmetro.com.my
Kuantan: Wanita warga emas maut, manakala suaminya selamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam sungai di Jambatan Balok Makmur, Seberang Balok, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Paridah Dollah, 67, dari Taman Inderapura, Jerantut meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, berdasarkan laporan, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 10.30 pagi membabitkan kereta Proton Saga BLM yang dipandu mangsa dan dinaiki suami berusia 66 tahun.
“Siasatan awal mendapati kereta itu dari arah Balok Makmur menghala ke Seberang Balok. Namun, sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam sungai.
“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan kerana mengalami sesak nafas,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dihantar ke lokasi.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba di lokasi.
“Ketika itu, wanita warga emas disahkan meninggal dunia, manakala lelaki yang mengalami sesak nafas diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke HTAA,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




