am@hmetro.com.my
Putrajaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak menerima sebarang aduan berkaitan kandungan media sosial membabitkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) termasuk video lagu yang ditularkan dan dijadikan parodi oleh segelintir pengguna.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, MCMC bagaimanapun meneliti perkara terbabit dan sedia mengambil tindakan lanjut sekiranya mendapat arahan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Buat masa ini, MCMC tak memaklumkan kepada saya apa-apa tindakan yang diambil terhadap kandungan yang tidak secara langsung berkait dengan isu GISBH.
“Dari segi aspek siasatan, MCMC akan ambil tindakan untuk menurunkan kandungan atau mengarahkan apa-apa tindakan kepada platform media sosial sekiranya menerima arahan daripada PDRM,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, isu berkaitan GISBH akan ada disentuh pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, Jemaah Menteri hanya diberi perkembangan mengenai isu terbabit oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
“Kita ada dapat sedikit makluman terkini sama ada daripada menteri agama dari segi isu akidah dan menteri wanita berkaitan tahap keselamatan dan kesihatan kanak-kanak yang sekarang dalam jagaan pihak kerajaan,” katanya.
Ditanya, jika ada sebarang keputusan yang diputuskan Jemaah Menteri berkaitan isu GISBH, Fahmi enggan mengulas lanjut kerana kes terbabit masih di dalam siasatan polis serta tindakan mahkamah.
“Tapi Jemaah Menteri akan terima maklumat terkini dari semasa ke semasa cuma memandangkan ada beberapa perkara masih dalam siasatan dan tindakan oleh mahkamah, maka saya hanya boleh jawab sampai situ,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




