Pang Ron-Su Yin ketuai kemaraan pemain negara di Macau

Pang Ron-Su Yin ketuai kemaraan pemain negara di Macau

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai enam wakil negara akan meneruskan cabaran Malaysia ke pusingan kedua Terbuka Macau Super 500 esok.

Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh dan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin bakal mengetuai rakan-rakan yang lain selepas berjaya menewaskan lawan masing-masing di pusingan pertama hari ini.

Justin yang berada di ranking ke-52 dunia tidak berdepan masalah besar untuk mengalahkan lawan dari Taiwan, Po-Wei Wang 21-6, 21-9 dalam masa 18 minit sahaja.

Namun di pusingan kedua esok, dia dijangka bakal berdepan lawan sebenar yang juga pilihan kelapan kejohanan dari Indonesia, Alwi Farhan.

Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin meneruskan momentum baik mereka apabila mengalahkan pasangan Taiwan, Lu Ming Che-Hung En-Tzu, 21-15, 21-13 dan akan bertemu Lui Chun Wai-Fu Chi Yan dari Hong Kong.

Turut mengikut jejak sama adalah Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien juga meneruskan perjuangan selepas berhempas pulas untuk menang straight set ke atas wakil Taiwan, Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yun, 21-18, 22-20.

Halangan mereka seterusnya adalah gandingan dari India, B Sumeeth Reddy-Sikki Reddy.

Sementara itu, bagi beregu lelaki, bakal menyaksikan satu wakil sudah mengesahkan tempat di suku akhir apabila Bryan Jeremy Goonting-Fazriq Razif akan bertemu rakan senegara, Goh Boon Zhe-Wong Vin Sean yang turut layak selepas menewaskan rakannya, Chia Weijie-Lwi Sheng Hao, 21-16, 21-14.

Bagi Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong yang menewaskan lawan dari China, Chen Bo Yang-Guo Ruo Han 21-17, 21-16 akan berhadapan lawan dari Indonesia, Shohibul Fikri-Daniel Marthin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top