Belum reda kes perbicaraan yang berlangsung pagi tadi, aktres popular Fazura sekali lagi tampil memberikan respons.
Katanya menerusi perkongsian di Instagram, dia ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus memberikan doa dan sokongan terhadapnya.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan, doa yang baik, kata-kata semangat serta bunga dan tanda hati kepada Faz sejak lebih seminggu yang lalu.
“Alhamdulillah dan terima kasih sekali lagi kepada semua,” kongsinya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Sayangi Dirimu ini turut menegaskan bahawa, keputusan untuk memfailkan perceraian yang dibuatnya pada 13 September lalu kekal.
Bahkan, mengakui ia dibuat berdasarkan pertimbangan yang teliti termasuklah kesejahteraan Fatima dan untuk mempertahankan maruahnya sebagai wanita.
“Keputusan yang telah saya buat pada 13 September lepas bukanlah sesuatu yang diambil dengan ringan tanpa sebarang pertimbangan dan refleksi yang mendalam tentang masa hadapan Fatima dan saya.
“Pada hari ini, saya kekal nekad untuk meneruskan keputusansebelum ini demi maruah saya sebagai wanita dan kesejahteraan Fatima dalam hidup saya sendiri,” ulasnya.
Justeru, Fazura berharap orang ramai mendoakan agar proses perceraian yang difailkannya terhadap suami yang juga pelakon Fattah Amin berjalan lancar.
“Mohon doakan saya dapat menyempurnakan proses ini dengan baik dan lancar. Terima kasih sekali lagi diatas semua kata-kata semangat, sokongan dan semua doa untuk Fatima dan saya sekeluarga,” jelasnya.
Terdahulu, Fazura yang hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Petaling pada Rabu kelihatan kekal tenang, malah sempat melemparkan senyuman kepada petugas media yang hadir di perkarangan Mahkamah.
Sekadar info, pada 13 September lalu, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, mengejutkan ramai pihak apabila dilaporkan telah memfailkan perceraian terhadap suaminya.
Bagaimanapun, sehari selepas berita tersebut tular, Fattah tampil memberikan respons apabila mengatakan dia terkejut ketika menerima berita isterinya itu memfailkan perceraian terhadapnya dan memaklumkan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.
Fattah berkata, dia masih menyayangi Fazura dan menegaskan tiada wanita lain yang menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.
Sementara itu, Fazura pula memilih mengunci mulut mengenai perceraian yang difailkannnya.
Bahkan, kelihatan nekad dengan keputusan yang dibuat, aktres jelita itu seolah-olah sudah memberikan ‘hint’ kepada umum mengenai status rumah tangganya apabila sering memuat naik kata-kata motivasi beserta beberapa video yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Peguam memaklumkan 7 Oktober depan sebagai perbicaraan semula kes.

Untuk makluman, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkahwinan itu, pasangan tersebut dikurniakan dengan seorang anak perempuan iaitu, Nur Fatima Aisya yang kini berusia tiga tahun.




